Pahang tawar 2,000 baucar pelancongan bernilai RM50,000

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 weeks ago on 8 October 2021
Read News

PAHANG:

Tourism Pahang menawarkan 2,000 Baucar Pelancongan bernilai RM50,000 kepada orang ramai dalam usaha merancakkan semula sektor pelancongan domestik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata sebanyak 1,000 baucar masing-masing untuk nilai RM30 dan RM20.

Katanya, baucar pelancongan itu boleh didapati melalui aplikasi PahangGo iaitu diskaun membabitkan lebih 100 hotel bajet terpilih di seluruh negeri.

"Kerjasama antara Tourism Pahang dan PahangGo ini bertujuan merancakkan lagi industri pelancongan di Pahang yang terjejas hampir dua tahun menghadapi wabak pandemik COVID-19.

"Ia juga memberi satu daya penarik kepada hotel-hotel bajet yang terbabit dalam program Baucar Pelancongan ini serta membantu meningkatkan lagi penggunaan aplikasi PahangGo yang semakin mendapat sambutan dengan lebih 50,000 pengguna memuat turun aplikasi itu sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Sharkar berkata, pelaksanaan Baucar Pelancongan itu sebagai permulaan untuk melonjakkan lagi industri pelancongan domestik di Pahang di samping menarik pelancong luar Pahang apabila sempadan negeri dibuka semula dalam masa terdekat.

"Jika mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna aplikasi PahangGo, Tourism Pahang akan menambah baik Baucar Pelancongan dari segi nilai dan kuantiti pada masa akan datang," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.