Afrika Selatan longgarkan sekatan perjalanan global

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 18 September 2020
Read News

JOHANNESBURG:

Afrika Selatan pada Rabu mengumumkan akan melonggarkan sekatan perjalanan antarabangsa mulai 1 Oktober berikutan penurunan kes COVID-19 di negara yang paling terjejas di benua itu.

"Kami secara beransur-ansur dan berhati-hati akan melonggarkan sekatan perjalanan antarabangsa, membolehkan perjalanan masuk dan keluar ke Afrika Selatan untuk perniagaan, percutian dan perjalanan lain mulai 1 Oktober 2020," kata Presiden Cyril Ramaphosa dalam ucapannya. 

Afrika Selatan melarang perjalanan antarabangsa pada akhir Mac sebagai langkah membendung penyebaran COVID-19.

"Perjalanan masuk dan keluar dari negara-negara tertentu yang memiliki kadar jangkitan tinggi mungkin dihadkan. Senarai negara akan dikeluarkan berdasarkan data saintifik terkini,” kata Ramaphosa.

Menurutnya, semasa ketibaan, pelancong perlu menunjukkan keputusan ujian COVID-19 negatif yang tidak melebihi 72 jam daripada waktu berlepas.

"Sekiranya pelancong tidak melakukan ujian COVID-19 sebelum berlepas, mereka akan diminta menjalankan kuarantin wajib dengan kos ditanggung sendiri," kata pemimpin Afrika Selatan itu.

Ramaphosa turut berkata semua pelancong akan disaring semasa ketibaan, dan mereka yang menunjukkan gejala diminta menjalani kuarantin sehingga ujian COVID-19 ulangan dilakukan.

Afrika Selatan mempunyai jumlah kes COVID-19 disahkan paling tinggi di benua ini dan merupakan negara kelapan paling terjejas di dunia dengan lebih 15,700 kematian dan lebih 653,000 jangkitan.

Presiden berkata sebagai persiapan pembukaan semula sempadan, kedutaan Afrika Selatan di luar negara akan membuka semula permohonan visa dan semua visa jangka panjang yang sebelum ini dihentikan.

Beliau berkata pelancongan adalah antara pemacu ekonomi terbesar di negara ini.

"Kami bersedia membuka kembali pintu negara kami kepada dunia dan mengajak pelancong untuk menikmati keindahan gunung-ganang, pantai, bandar-bandar kami dan taman hidupan liar dengan selamat dan yakin," katanya.

Negara itu juga telah mengubah waktu perintah berkurung, bermula tengah malam dan berakhir 4 pagi. Sebelum ini, perintah berkurung bermula 10 malam.

Penjualan alkohol di kedai runcit untuk penggunaan di rumah kini dibenarkan dari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Alkohol kini dibenarkan untuk kegunaan di tempat berlesen sahaja dan perlu mematuhi perintah berkurung yang ketat.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.