Bangladesh sekat kemasukan pengembara dari 11 negara termasuk Malaysia

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 weeks ago on 3 June 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Bangladesh melarang kemasukan pelancong dari 11 negara berkuat kuasa 4 Jun untuk membendung penularan COVID-19 yang semakin buruk di negara ini dengan pakar mencadangkan lebih banyak penutupan dan langkah kawalan lebih ketat bagi mengelakkan bencana kesihatan.

Senarai rasmi negara yang terlibat dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam pada Selasa.

Larangan masuk dan keluar itu melibatkan Argentina, Bahrain, Bolivia, Brazil, India, Malaysia, Maldives, Nepal, Paraguay, Uruguay, Trinidad dan Tobago.

Sementara itu, sepasukan pakar kesihatan di Bangladesh mengesyorkan perintah "duduk di rumah" dikenakan kepada semua kecuali mereka yang terlibat dalam perkhidmatan kecemasan.

Jawatankuasa Penasihat Teknikal COVID-19 juga mendesak kerajaan melaksanakan penutupan penuh mengikut kawasan terutama di daerah bersempadan dengan India serta di kawasan yang mencatatkan kadar jangkitan tinggi.

Sekurang-kurangnya 31 kes strain India dilaporkan di Bangladesh. Pada 26 April, negara itu menutup sempadan darat dengan India hingga 14 Jun.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan kerajaan menutup restoran, tempat pelancongan dan melarang semua perhimpunan politik serta keagamaan selain meningkatkan jumlah rondaan untuk menghentikan kemasukan secara haram ke daerah di sepanjang sempadan India.

Lebih 4,000 warga Bangladesh kembali dari India sejak sebulan lalu walaupun larangan perjalanan dikuatkuasakan.

Ahli virologi terkemuka Md Nazrul Islam berkata "Situasi COVID-19 semakin buruk di Bangladesh terutama di beberapa daerah sempadan. Oleh itu, kami mengesyorkan pemerintah melaksanakan penutupan penuh dan meningkatkan rondaan di tujuh daerah sempadan."

Selain itu, kerajaan juga disaran menggantung perkhidmatan pengangkutan awam antara daerah di kawasan yang mencatatkan jumlah kes yang tinggi.

Bangladesh yang mempunyai 165 juta penduduk itu telah melanjutkan sekatan pergerakan di seluruh negara sehingga 6 Jun.
Setakat ini, jumlah kematian akibat COVID-19 telah mencecah 12,660 dengan kes jangkitan sebanyak 802,305, menurut Kementerian kesihatan.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.