Filipina rancang terima kemasukan pelancong sudah divaksin

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 22 November 2021
Read News

FILIPINA :

Filipina akan mengalu-alukan kedatangan pelancong asing tidak lama lagi, umum pemerintah negara itu , ketika ia bersiap sedia bagi pembukaan semula sebahagian sempadannya kepada pengunjung yang lengkap divaksin.

Ini setelah sempadannya ditutup selama 20 bulan untuk membendung COVID-19.

Pengendali pelancongan di seluruh negara kepulauan yang terkenal dengan pantai dan tempat menyelamnya itu terjejas teruk oleh jumlah pelancong antarabangsa yang menjunam, selain sekatan ke atas perjalanan domestik sejak permulaan pandemik itu.

Pasukan petugas COVID-19 pemerintah sudah "meluluskan pada dasarnya" permintaan jabatan pelancongan untuk membenarkan kemasukan pelancong yang sudah divaksin dari negara yang mempunyai kadar jangkitan rendah, kata Setiausaha Pelancongan Berna Puyat.

Sempadan akan dibuka semula "tidak lama lagi", menurut kenyataan itu, tanpa memberikan tarikh.

"Membenarkan pelancong dari negara dalam senarai hijau atau wilayah yang majoriti penduduknya sudah divaksin dan mencatat kadar jangkitan yang rendah, akan sangat membantu dalam usaha pemulihan kita," kata Cik Puyat.

"Langkah ini juga akan membantu dalam mengukuhkan keyakinan pengguna, yang merupakan penyumbang besar kepada GDP kita," tambahnya.

Lebih 40 negara dan wilayah kini diklasifikasikan sebagai "hijau" - iaitu berisiko rendah dan dikecualikan daripada syarat kuarantin - termasuk China, Indonesia dan Zimbabwe.

Pelancongan merupakan pemacu utama ekonomi negara Asia Tenggara itu, menyumbang hampir 13 peratus GDP pada 2019, apabila ia menarik lebih lapan juta pengunjung, menurut data rasmi.

Perangkaan itu menjunam kepada 5.4 peratus tahun lalu apabila ketibaan pelancong jatuh 82 peratus kepada 1.48 juta.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.