Grab perluas rangkaian perkhidmatan di beberapa bandar di Semenanjung

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 7 September 2020
Read News

JOHOR:

Penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab akan memperluaskan tiga rangkaian perkhidmatannya, iaitu GrabCar, GrabFood dan GrabMart ke beberapa bandar kecil di Semenanjung Malaysia bulan ini.

Ketua Bahagian Kerajaan dan Hal Ehwal Awam Grab Malaysia, Ebi Azly Abdullah berkata inisiatif itu bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti menjana pendapatan dan memperkasakan sektor ekonomi digital negara.

Antara kawasan terlibat ialah Cameron Highlands di Pahang, Pantai Remis di Perak, Baling di Kedah selain Mersing dan Segamat di Johor, katanya,


"Perkhidmatan GrabCar di Mersing dan Segamat (dijangka) bermula akhir September ini seterusnya khidmat GrabFood dan GrabMart (tanpa tunai dengan GrabPay) dirancang pada suku keempat tahun ini. Di utara Semenanjung, Grab akan mula beroperasi di bandar seperti Cameron Highlands, Pantai Remis dan Baling.

"Ini adalah sebahagian usaha Grab bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam ekonomi digital terutama masyarakat luar bandar yang mana menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan penengah adalah 41 peratus lebih rendah daripada penduduk bandar," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran DesaMall@Mersing oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, di sini.

Ebi Azly berkata sebagai penyokong ekonomi digital, pihaknya berbangga dapat membawa teknologi berkenaan kepada masyarakat luar bandar dengan menyediakan khidmat solusi yang lebih selamat, boleh dipercayai dan berpatutan.

"Secara tidak langsung, kami mewujudkan lebih banyak peluang meraih pendapatan di seluruh ekosistem perkhidmatan kami merangkumi pengangkutan, makanan dan pasar raya terutama di kawasan luar bandar.

"Dengan pengembangan ini, kami juga berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rakan kongsi strategik agar aktiviti ekonomi digital di kawasan terlibat terus berkembang maju," katanya.

Beliau berkata Grab juga memperluas inisiatif 'Pakej Pikul Bersama' bagi ahli pemandu baharu yang menyertai platform itu dengan menyediakan pembayaran balik secara sekali sahaja sehingga RM120 bagi lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan RM70 bagi pemeriksaan permulaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM). 

Menurutnya inisiatif itu diwujudkan bagi membantu rakan pemandu melepasi beberapa proses peraturan ketika pertama kali diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan, tahun lepas sekaligus membantu memastikan ekonomi yang lebih adil dan inklusif.

"Grab bermatlamat untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong dan mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan bagi rakyat Malaysia di seluruh negara dengan menyediakan kehidupan lebih baik," katanya.

Ebi Azly berkata dengan pengenalan perkhidmatan Grab yang lain seperti GrabFood dan GrabMart dalam beberapa bulan akan datang, ia dapat membantu meningkatkan lagi peluang perniagaan dan pendapatan di seluruh negara.

 "Justeru, ia akan memberi pendekatan tambahan bagi perniagaan untuk memperluas pangkalan pelanggan mereka dengan memanfaatkan jutaan pengguna Grab ke kawasan bandar dan bandar kecil.

"Grab akan bekerjasama rapat dengan usahawan luar bandar dalam menjayakan kempen dan strategi promosi yang disesuaikan dalam usaha membantu mereka mengembangkan perniagaan mereka," katanya.

Grab adalah aplikasi super terkemuka di Asia Tenggara yang menyediakan perkhidmatan harian dan telah dimuat turun lebih daripada 166 juta pengguna di peranti mudah alih dan memberi akses kepada lebih daripada sembilan juta pemandu, peniaga dan ejen. 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.