Guna khidmat bas untuk membawa orang ramai yang menerima suntikan vaksin ke PPV

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 1 week ago on 7 June 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) menyarankan kerajaan membantu pengusaha bas dan van yang terkesan akibat pendemik ketika ini, dengan menggunakan perkhidmatan mereka membawa orang ramai yang menerima suntikan vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengerusi SGBM, R Thiagarajan, berkata ia perlu membabitkan pengusaha bas dan van yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan(ROS) bagi memudahkan urusan.

"Kerajaan perlu membantu pengusaha bas sekolah, bas persiaran, bas ekspres dan yang lain secara keseluruhannya yang lumpuh di saat ini dengan menggunakan perkhidmatan mereka membawa orang ramai ke PPV.

"Kami yakin kerajaan ketika ini prihatin dalam membela serta membantu rakyat dalam menempuhi tempoh pandemik yang mencabar ini.

"Begitu juga SGMB, kami juga bersedia mengembeleng tenaga pengusaha atau pemandu bagi membantu menggerakkan usaha kerajaan dalam membantu memerangi pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya, pengusaha serta pemandu industri bas dan pelancongan negara menyarankan kerajaan menggunakan kenderaan 'mobile vaccination unit' milik pengusaha bas yang tersadai ketika ini akibat pandemik, menerusi pengagihan tugasan.

Katanya, tugasan itu perlu melalui persatuan negeri yang aktif dan berdaftar dengan ROS dan tidak memberi secara terus kepada mana-mana syarikat.

"Pengagihan dan penyeliaan tugasan itu pula perlu dipantau oleh sebuah jawatankuasa bebas industri bas dan pelancongan negara di peringkat pusat.

"Pengagihan perlu dibuat secara adil bagi memastikan golongan yang betul-betul terkesan sahaja yang menerima tugasan tersebut," katanya.

Justeru, beliau berharap supaya hentikan pemberian tugasan kepada syarikat tertentu sahaja dan mohon melihat pada semua persatuan yang wujud di Malaysia dan yang mencuba sedaya upaya bagi membantu ahli mereka.

"Mana-mana persatuan bas di negara harus mengutamakan kebajikan ahli dan SGBM menggesa Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta yang lain untuk menyaring semula persatuan yang berdaftar di bawah ROS.

"Ini kerana pihak kami juga mendapat aduan mengenai berlakunya ketidakadilan serta mempunyai unsur kepentingan dalam berpersatuan," katanya.

Thiagarajan berkata, pihaknya yakin jika usaha itu dapat dilaksanakan, pengusaha industri bas dan pelancongan negara dapat keluar dari belenggu masalah yang dihadapi ketika ini, sekali gus menyelamatkan perniagaan dan menyara keluarga masing-masing.

"Ia sedikit sebanyak dapat memberi ruang nafas kepada industri serta peluang bagi memulihkan industri bas dan pelancongan secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu melihat keadaan pengusaha dan pemandu di seluruh negara dan bukannya membuat penilaian berdasarkan pada syarikat sahaja.

Katanya, tidak dinafikan ada syarikat bas yang masih kukuh tetapi dalam waktu pandemik ketika ini, wajar sekiranya pihak kerajaan fokus secara menyeluruh kepada semua warga industri bas dan pelancongan negara.

"Kami amat berterima kasih untuk bantuan yang disalurkan yang sedikit sebanyak membantu pengusaha dan pemandu, namun sampai bila kerajaan akan terus menyalurkan bantuan sedangkan tiada siapa yang tahu bila pandemik ini berakhir.

"Justeru SGMB merayu pelbagai cadangan yang sering kami bangkitkan bagi membantu pengusaha dan pemandu, didengar kerajaan," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.