Jadikan program baca puisi tarikan pelancongan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 14 June 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Program kesusasteraan  seperti pengucapan puisi boleh dijadikan platform yang sesuai bagi menarik kedatangan pelancong ke negara ini seperti yang dilakukan di luar negara.

Menegaskan perkara itu  Menteri Pelancongan,  Seni dan Budaya, Datuk Nancy Shukri berkata,  acara kesusasteraan seperti puisi sebagai salah satu seni persembahan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat yang juga secara tidak langsung akan menggerakkan aktiviti pelancongan domestik.

“Menyedari hakikat ini, sudah sampai masanya bidang pusi diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Ini bagi memartabatkan bidang puisi secara lebih luas, misalnya dengan mewujudkan satu hari khusus untuk pemuisi, “ kata beliau dalam  ucapan sempena program Semarak Puisi dan Majlis Perisytiharan Hari Puisi Malaysia (HPM) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka serta Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) secara maya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noor Zari  Hamat. Pada majlis itu beliau mengisytiharkan 13 Jun setiap tahun sebagai Hari Puisi Malaysia.

Nancy berkata, oleh kerana puisi mempunyai pengaruh luas dalam masyarakat, maka bidang tersebut wajar diangkat menjadi wadah pengucapan yang dapat menyumbang ke arah pembangunan rohani dan sosial

Katanya,  pemuisi merupakan golongan yang mempunyai keistimewaan dengan jiwa yang halus, mempunyai kemahiran semula jadi, menikmati sambil memerhati lalu menterjemah apa yang dilihat, dirasai, dan dialami dalam bentuk puisi. 

Menurutnya, ilham yang tumbuh dalam lubuk jiwa pemuisi menjadi idea yang bercambah dan kemudian digarap dalam karya untuk ditatap dan dibaca oleh seluruh masyarakat. 

“Seperti mana yang kita sedia maklum, khalayak puisi bukan lagi terdiri daripada penggiat dan peminat kesusasteraan sahaja, malah telah melangkaui golongan pemimpin negara, pemimpin masyarakat dan tokoh korporat. Beberapa orang bekas Perdana Menteri kita sendiri pernah menulis dan menyampaikan puisi sehingga memukau rakyat di seluruh negara, “ kata beliau. 

Sebagai rekod masyarakat di seluruh dunia termasuk Malaysia menyambut Hari Puisi Sedunia pada 21 Mac setiap tahun selepas diisytiharkan pada Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) ke-30 di Paris pada 1999. 

Namun sehingga kini, masih belum ditetapkan satu hari khusus sebagai Hari Puisi peringkat nasional di Malaysia. Di Indonesia telah wujud Hari Puisi Nasional yang disambut pada setiap 28 April. Begitu juga di beberapa buah negara lain di dunia. 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.