Kelonggaran SOP, peluang sektor pelancongan kembali rancak

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 18 October 2021
Read News

KUALA LUMPUR:

Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi kuarantin wajib dan pergerakan ke luar dan dalam negara berkuat kuasa 18 Oktober menjadi pemangkin utama dalam merancakkan semula sektor pelancongan negara.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA), Datuk Mohd Khalid Harun, berkata kelonggaran SOP yang diberikan kerajaan memberi kebaikan kepada semua pihak khususnya kepada sektor pelancongan di samping memudahkan pelancong.

"Kelonggaran SOP ini bermakna kita sudah bersedia dan matang terhadap SOP yang kita laksanakan. Kelonggaran ini penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan kerana apabila pelancong masuk ke negara ini mereka membawa wang bersama mereka untuk dibelanjakan.

"Kita perlu mengikut jejak negara maju yang membenarkan sektor pelancongan mereka beroperasi semula supaya kita tidak ketinggalan dari aspek ekonomi," katanya.

Mohd Khalid juga menggalakkan orang ramai untuk pergi bercuti, sama ada di dalam mahupun di luar negara namun mengingatkan pelancong agar sentiasa mematuhi SOP di setiap tempat yang dikunjungi.

"Sambil bercuti kita harus beringat, sentiasa patuhi SOP telah ditetapkan. Misalnya seperti umrah, SOP di Malaysia berbeza dengan SOP dalam kapal terbang dan di Jeddah, Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan semula industri pelancongan ini memberi kebaikan kepada pelbagai sektor lain seperti sektor penerbangan, perniagaan kecil, perkhidmatan dan ekonomi setempat yang telah sekian lama terjejas akibat COVID-19.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.