Kerajaan Pulau Pinang mengambil inisiatif melaksanakan program akreditasi keselamatan COVID-19

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 9 July 2020
Read News

PULAU PINANG :

 Kerajaan Pulau Pinang mengambil inisiatif melaksanakan program akreditasi keselamatan COVID-19 bagi tujuan meningkatkan kepatuhan terhadap standard kebersihan dan keselamatan yang ketat dalam industri pelancongan.

Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan inisiatif ini yang melibatkan hotel, destinasi tarikan pelancong dan pusat beli-belah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Pulau Pinang (PETACH), Yeoh Soon Hin berkata objektif utama program tersebut ialah memberi penekanan terhadap kepentingan keselamatan dan kebersihan termasuk mematuhi prosedur operasi standard yang ketat (SOP) untuk memulihkan kembali keyakinan pelancong dalam jangka masa panjang.

“Akreditasi ini dikeluarkan untuk bangunan dalam industri pelancongan yang perlu mematuhi standard kebersihan dan keselamatan yang ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti PETACH, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaran Seberang Perai (MBSP) dan Penang Global Tourism (PGT), ” katanya.

Yeoh menjelaskan sebelum memperoleh akreditasi keselamatan COVID-19 dari PETACH, pihak berkuasa terlibat akan melakukan audit menyeluruh untuk memastikan semua piawaian dipatuhi.

“Mereka yang telah memenuhi piawaian akreditasi keselamatan COVID-19, akan diberi lambang atau logo rasmi untuk dipamerkan di premis mereka dan logo ini boleh digunakan dalam tujuan iklan dan bahan promosi.

"JKNPP, MBPP, MBSP, PETACH dan PGT akan melakukan pemeriksaan berterusan terhadap premis yang telah mendapat akreditasi bagi memastikan standard dipatuhi dan dikekalkan," katanya.

"Inisiatif ini juga seiring dengan arahan kerajaan negeri yang mahu mempromosikan pelancongan mampan dalam kalangan pemain industri dan pelancong serta mendidik masyarakat.

"Dengan peralihan industri pelancongan ke norma baharu, persiapan dan amalan ini akan menjadi teras dalam mempercepat usaha pemulihan ekonomi pelancongan," tambahnya.

Semua dokumen berkaitan program akreditasi berkenaan termasuk borang permohonan boleh dimuat turun dari https://penanglawancovid19.com/accreditation.

Mereka yang berminat untuk menyertai program berkenaan boleh menghantar permohonan melalui e-mel covid19accreditation@penangglobaltourism.com untuk kelulusan atau menghubungi sekretariat di talian 04-264 3456 untuk maklumat lanjut.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.