Kerugian perbelanjaan pelancongan dijangka meningkat

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 weeks ago on 7 October 2021
Read News

KUALA LUMPUR:

Anggaran kerugian daripada hasil perbelanjaan pelancong di Malaysia dijangka meningkat kepada RM165 bilion tahun ini daripada sekitar RM135 bilion pada tahun 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sektor pelancongan telah berhadapan lebih 12 bulan sama ada hanya sedikit perniagaan beroperasi atau ketiadaan operasi selain kehilangan pekerjaan.

"Pelancongan lebih daripada sekadar beriadah kerana industri ini juga penyedia pekerjaan dan pendapatan yang stabil, menyokong satu daripada empat pekerjaan, terutama untuk destinasi yang amat bergantung kepada pelancongan, kawasan terpencil, dan tenaga kerja berkemahiran sederhana atau rendah.

"Walaupun masih terdapat lokasi dengan situasi yang mencabar dari segi kesihatan dan sempadan umumnya ditutup, rantau ini telah mulai dibuka kembali dengan tahap kegiatan operasi pelancongan yang rendah," katanya di Forum Kepimpinan dan Perkongsian ASEAN 2021.

Nancy berkata, sebelum sempadan dibuka semula, penting untuk bersiap sedia dengan pelan pemulihan dan menyusun strategi agar dapat memperoleh daya saing bagi industri pelancongan, terutama di rantau ASEAN.

"Ini kerana pandangan pasaran mengunjurkan sebaik sempadan dibuka, tumpuan pelancong adalah pada destinasi yang hampir dengan rumah.

"Justeru, penting bagi kita untuk memperkuatkan kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam memudahkan ekosistem ketibaan antarabangsa," jelasnya.

Menteri itu menambah, Malaysia kini sedang bersiap untuk membuka Langkawi kepada pelancong antarabangsa tidak lama lagi selepas kejayaan gelembung pelancongan domestik Langkawi.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.