Khazanah suntik RM3.6b kepada Malaysia Airlines untuk penstrukturan semula

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 23 February 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Khazanah Nasional Berhad akan menyuntik dana RM3.6 bilion kepada syarikat induk Malaysia Airlines Berhad, Malaysia Aviation Group (MAG), bagi menampung kos syarikat itu sepanjang tempoh penstrukturan sehingga 2025.

MAG dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan Khazanah Nasional telah menyatakan komitmen berkenaan dalam rangka penting program penstrukturan semula berkenaan.

Kenyataan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi United Kingdom (UK) pada Isnin memberi lampu hijau membenarkan penstrukturan semula syarikat itu yang mempunyai liabiliti lebih RM15 bilion.

Kenyataan itu menyebut Mahkamah Tinggi UK telah bersetuju dengan skim pengaturan di bawah bahagian 26 Akta Syarikat UK 2006, antara entiti penyewaan MAG MAB Leasing Ltd dan sebahagian besar pesawat MAG yang beroperasi sebagai pemajak.

Penstrukturan itu merupakan langkah penting buat Malaysia Airlines yang kini berdepan tekanan kewangan akibat kos operasi tinggi, tenaga kerja besar selain kesan sekatan perjalanan akibat COVID-19.

Kerja-kerja penstrukturan semula kewangan itu yang diharapkan selesai pada awal bulan Mac, melibatkan semua pihak berkepentingan utama MAG sebagai mencapai perjanjian dua hala bersama pemberi pinjaman lain seperti pembiayaan dan pengeluar pesawat.

Elemen utama penstrukturan semula termasuk pemotongan rangkaian, penjimatan kos struktur, pemuliharaan tunai dan inisiatif penangguhan pembayaran.

Tambah MAG, ia diterjemahkan kepada sejumlah RM5.5 bilion pada tahun 2020 dan sasaran RM397 juta untuk suku pertama 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail, visi jangka panjang MAG adalah untuk menjadikan syarikat itu sebagai kumpulan pelancongan global yang terkemuka.

Jelasnya, pihaknya akan berusaha untuk meluaskan penglibatan MAG ke dalam produk dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan perjalanan di luar penerbangan, yang akan membantu pelanggan melengkapkan pengalaman perjalanan mereka dari satu tempat ke satu tempat.

Kelebihan kedudukan geografi, pengiktirafan anugerah, ditambah dengan keistimewaan Malaysian Hospitality (MH) sedikit sebanyak akan membantu mempelbagaikan aliran pendapatan dengan meminimumkan keperluan untuk bergantung kepada industri perjalanan udara yang sangat kompetitif.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.