Lapangan terbang dijangka mula sibuk akhir tahun ini

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 24 August 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Trafik penumpang di lapangan terbang Malaysia dijangka akan kembali meningkat akhir tahun ini berdasarkan kepada kelonggaran sekatan oleh kerajaan ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata Malaysia akan dapat mencapai sasaran imuniti kelompok pada Oktober ini berdasarkan kadar vaksinasi yang pantas dengan lebih 50 peratus penduduk mendapat vaksin lengkap dua dos.

Justeru, beliau berkata kumpulan mengunjurkan keadaan trafik penumpang akan bertambah baik apabila sekatan rentas negeri mula dilonggarkan tidak lama lagi.

"Kita boleh menjangkakan trafik penumpang domestik akan mendapat daya tarikan apabila 70 hingga 80 peratus penduduk telah mendapat vaksinasi lengkap.


"Malah, ia juga akan disokong oleh peningkatan kegiatan ekonomi berdasarkan pembukaan semula lokasi pelancongan tempatan dan pelancongan Visiting Friends and Relatives (VFR).

"Pengumuman terbaharu yang dibuat oleh kerajaan membenarkan beberapa kemudahan kepada individu yang mendapat vaksin lengkap termasuk gelembung perjalanan ke Langkawi adalah petunjuk awal pemulihan trafik penumpang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shukrie berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG), Turki yang dimilikinya juga turut menunjukkan pemulihan pada separuh pertama 2021.

Beliau berkata, ISG merekodkan trafik penumpang sebanyak 53 peratus dengan faktor muatan purata sebanyak 70 peratus selain turut disenaraikan sebagai lapangan terbang keempat tersibuk di Eropah pada separuh pertama tahun ini oleh Airports Council International (ACI).

Katanya, kumpulan optimis ISG akan merekodkan pemulihan berterusan bagi trafik penumpang dan operasinya pada separuh kedua ini seiring dengan jangkaan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

"IATA menjangkakan negara yang pantas dalam pemberian vaksin seperti Turki akan mencatatkan peningkatan kembali trafik penumpang pada suku keempat ini.

"Malah ketika ini juga, 51 peratus penduduk di negara itu sudah mendapat vaksin. Pertubuhan Eropah (EU) untuk Keselamatan Navigasi Udara (Eurocontrol) juga baru-baru ini meletakkan Turki sebagai negara keenam yang mempuyai trafik udara paling sibuk di Eropah.

"ISG kekal menjadi penyumbang penting bagi pemulihan MAHB. Malah pemulihan trafik di ISG juga lebih berdaya saing berbanding Malaysia. Pergerakan trafik penumpang di ISG meningkat 17.6 peratus pada enam bulan pertama 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.