MATTA Fair tanda aras pulih industri pelancongan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 18 November 2021
Read News

KUALA LUMPUR:

MATTA Fair 2021 yang bakal diadakan pada 20 hingga 21 November ini akan menjadi penanda aras kepada pemulihan pelancongan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Phua Tai Neng, berkata walaupun pameran kali ini diadakan dalam skala yang kecil, namun ia memberi kesan kepada peserta industri pelancongan.

Beliau berkata, selepas hampir dua tahun berdepan dengan penurunan pendapatan, MATTA Fair 2021 kali ini dijangka bakal menjadi lonjakan semula operasi perniagaan.

Katanya, pameran pelancongan kali ini juga menumpukan kepada pelancongan domestik berbanding pameran sebelum ini yang banyak menawarkan pakej pelancongan antarabangsa.

"Fokus diberikan kepada pelancongan domestik kerana kami mahu meningkatkan semula ekonomi pelancongan negara. Ini supaya rakyat kembali dapat melancong dalam negara serta memberi pendapatan kepada peserta industri, yang seterusnya akan membantu membuka peluang pekerjaan.

"Pameran kali ini dijangka akan dapat meraih jualan sebanyak RM25 juta dengan sasaran seramai 20,000 pengunjung sepanjang dua hari ia berlangsung.

"MATTA ingin memberikan semula sinar kepada industri pelancongan domestik. Pameran ini adalah permulaan baharu kepada industri," katanya.

Mengulas lanjut, Tai Neng berkata pameran MATTA Fair 2021 kali ini akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan hanya membenarkan individu yang sudah lengkap mendapat vaksin.

Beliau berkata, MATTA juga mengikuti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar kanak-kanak tidak digalakkan untuk hadir ke pameran pelancongan itu.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.