Pemain Industri Perlu Memberi Perhatian Kepada Pelancongan Domestik

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 6 July 2020
Read News

KELANTAN:

Pemain industri pelancongan terutama yang beroperasi di Pantai Timur perlu bijak dalam menarik pelancong domestik untuk menyertai aktiviti pelancongan yang diusahakan mereka.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin berkata ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang memberi impak terhadap kemasukan pelancong luar selepas pintu sempadan antarabangsa ditutup.

"Apa yang berlaku ini adalah satu cabaran besar disebabkan sempadan negara masih lagi ditutup, sama ada mahu atau tidak, kita perlu memberi perhatian kepada pelancongan domestik serta mengaktifkan semula kempen bagi menarik pelancong tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Lawatan Pelancongan Domestik di Cerana Villa, Pengkalan Datu, Pengkalan Chepa yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA), Mohd Asri Husin.

Dalam pada itu, Hafiz berkata Tourism Malaysia juga akan memainkan peranan dalam memastikan pemain industri pelancongan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memberi keyakinan kepada pelancong.

Beliau berkata antara contoh yang boleh dilakukan oleh pemain industri pelancongan terutama perhotelan adalah berkongsi video mengenai SOP yang digunakan oleh mereka agar pelanggan dapat berjaga-jaga dalam mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, Mohd Asri berkata memandangkan Pengkalan Datu mempunyai potensi besar untuk pelancongan, pihaknya akan terus menjalankan program bersama komuniti setempat termasuk membuka Pasar Tani Terapung bermula 8 Ogos nanti dengan mematuhi keadaan kebiasaan baharu dan menampilkan keunikan baharu.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.