Pemain sektor pelancongan digesa mohon skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA - Nancy

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 14 August 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menggesa pemain pelancongan agar memohon skim Pembiayaan Pelancongan (PTF) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM1 bilion untuk kekal kompetitif dalam norma baharu semasa pandemik COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata skim itu bertujuan untuk mengekalkan keupayaan dan meningkatkan daya saing Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta syarikat mikro tempatan, selain membantu mereka yang terkesan akibat pandemik tersebut. 

“PKS boleh menghubungi dan memohon dengan 12 institusi kewangan yang menyertai skim tersebut termasuk Maybank Islamic Berhad, Bank Simpanan Nasional, Public Bank Berhad dan SME Bank.


“Skim itu menawarkan pembiayaan bernilai sehingga RM75,000 bagi syarikat mikro dan sehingga RM300,000 bagi PKS dengan faedah 3.5 peratus setahun bagi tempoh tidak lebih daripada tujuh tahun,” katanya kepada pemberita selepas sesi perangkaian dengan pemain industri mengenai skim PTF, di sini.

PKS dan syarikat mikro yang memenuhi kriteria kelayakan SME Corp Malaysia, atau yang berlesen atau berdaftar di bawah kementerian itu dalam sektor pelancongan teras dan berkaitan pelancongan layak memohon skim pembiayaan tersebut.

Nancy berkata kerajaan mahu membantu pemain industri yang sedang bergelut selain mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan tekanan ekonomi dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Apa yang kita mahu lakukan sebagai sebuah kerajaan adalah untuk melihat lebih ramai orang menambah pendapatan mereka. Selain daripada itu, kita mahu industri mengekalkan pekerja mereka (bekerja) kerana anda boleh lihat ada sesetengah orang cuba untuk membuang pekerja mereka.

“Kami tidak mahu itu berlaku, itulah sebabnya program Subsidi Upah diperkenalkan menerusi Program Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) untuk membantu dan memastikan orang ramai mempunyai pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, industri pelancongan tempatan mula pulih sedikit demi sedikit daripada kesan pandemik. 

“Kita menjangkakan kerugian perbelanjaan pelancong bagi separuh kedua tahun ini kurang daripada anggaran (RM45 bilion) dari Januari hingga Jun,” katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.