Pembangunan Langkawi tidak boleh seperti Kuala Lumpur

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 23 July 2021
Read News

LANGKAWI:

Reputasi Pulau Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan paling popular, boleh dikekalkan namun ia memerlukan kerjasama penduduk dan pekerja industri.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Langkawi dikenali dengan kecantikan pantai dan alam semulajadi, namun ia tidak akan memberi makna jika layanan kelas pertama tidak boleh diberikan kepada pelancong.

"Pembangunan Langkawi tidak boleh seperti Kuala Lumpur. Kalau Langkawi jadi macam Kuala Lumpur, tarikannya akan hilang.

"Langkawi menarik kerana keindahan dan ketenangannya. Paling penting, sikap ramah penduduknya yang menarik hati pelancong untuk datang lagi.

"Kalau kita bagi layanan sambil lewa, pelancong akan tawar hati dan tak nak datang lagi," kata Dr Mahathir dalam sesi bual bicara secara maya bertajuk Langkawi di Mata Tun.

Mengimbas kenangan kali pertama beliau di Langkawi pada era 50an, bekas perdana menteri itu berkata, Langkawi hari ini membangun dengan baik, malah kemajuannya selaras dengan pembangunan modal insan.

"Sejak Langkawi jadi pulau bebas cukai pada 1980an, penduduk cepat dan pandai mengambil peluang untuk memajukan diri.
"Mereka memulakan perniagaan sendiri, dari kecil-kecilan sehingga menjadi besar dengan pulangan yang banyak. Dulu bot guna tangkap ikan, sekarang bot guna untuk bawa pelancong, contohnya.

"Rumah-rumah penduduk juga semakin cantik, jalan tar ada sampai ke kampung-kampung.

"Bukan itu sahaja, ramai juga orang Langkawi yang berjaya di luar Langkawi, malah ada yang mempunyai kerjaya hebat di luar negara," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menjangkakan Langkawi boleh kembali dibuka kepada pelancong dalam tempoh dua bulan lagi.

"Berdasarkan perkembangan suntikan vaksin, saya jangka kita boleh vaksin semua penduduk Langkawi dalam masa sebulan. Ia tak mustahil sebab penduduk Langkawi hanya sekitar 70,000 sahaja.

"Jadi penggiat industri pelancongan perlu bersedia, pastikan semuanya dalam keadaan baik.

"Tetapi tentulah kita kena ada syarat juga untuk pastikan Langkawi selamat. Selain penduduk lengkap divaksinasi, pelancong juga perlu dapat suntikan vaksin yang lengkap dan menunjukkan sijil vaksinasi sebelum dibenarkan masuk.

"Mungkin kita boleh laksanakan ujian saringan juga untuk pelancong," tambahnya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.