Sarawak akan bincang semula cadangan jadikan Kuching hab umrah

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 1 October 2020
Read News

SARAWAK:

Kerajaan Sarawak akan berunding semula dengan sebuah syarikat penerbangan dari negara timur tengah bagi menjadikan Kuching sebagai hab umrah untuk rantau Borneo setelah redanya pandemik COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini berkata kerajaan negeri menerusi Lembaga Pelancongan Sarawak telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat berkenaan, ATS Global Travel and Charter pada 31 Dis lepas.

“(Di bawah MoU itu), syarikat terbabit menyediakan penerbangan dari Kuching ke Kuwait dan seterusnya ke Jeddah ataupun Madinah mulai Mac tahun ini, tetapi usaha itu telah terbantut akibat COVID-19,” katanya kepada pemberita di sini.


Menerusi MoU itu, beliau berkata para jemaah umrah dari negeri ini, Sabah, Kalimantan dan Jakarta di Indonesia akan diterbangkan ke Kuching di mana mereka akan tinggal sekurang-kurangnya satu malam sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Kuwait, Jeddah ataupun Madinah.

“(Hab umrah ini) sedikit sebanyak akan juga menghidupkan industri perhotelan di bandar raya Kuching kerana mereka yang tiba (dalam perjalanan untuk mengerjakan umrah) perlu tinggal satu atau dua malam (di Kuching),” katanya. 

Abdul Karim ditemui media setelah menyaksikan majlis menandatangani satu MoU di antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan Profesional Mutawwif Development Sdn Bhd bagi membolehkan UiTM Sarawak menawarkan program pengajian Diploma in Mutawwif Professional and Muslim Tour Leader.

Dalam majlis itu, UiTM Sarawak diwakili rektornya, Prof Datuk Dr Jamil Hamali dan Timbalan Rektor Bahagian Hal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Firdaus Abdullah, sementara Professional Mutawwif Development Sdn Bhd diwakili pengarah urusannya, Abd Halim Ikhsan dan Pengarah Perhubungan Korporat, Mohd Zamri Mazleh.

Kerjasama itu turut menjadikan UiTM Sarawak sebagai universiti pertama di negeri ini menawarkan program pengajian seumpama itu dan ia akan turut menyediakan prasarana dan kemudahan lengkap untuk pelajar yang terlibat.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.