Sektor pelancongan di P.Pinang kembali merudum

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 1 week ago on 14 October 2020
Read News

PULAU PINANG :

Sektor pelancongan di Pulau Pinang kembali berdepan tempoh sukar susulan peningkatan semula kes COVID-19 di negara ini.

Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Vergis Mathews memberitahu Bernama jumlah pelancong domestik yang mengunjungi Pulau Pinang kebelakangan ini disifatkan hampir 'tiada'.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini menjangkakan kehadiran jumlah pelawat dan pelancong tertinggi dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.

"Bagaimanapun, ekoran pandemik COVID-19 yang semakin menular di seluruh negara, saya bimbang ini akan menjadi tempoh terburuk bagi industri pelancongan," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan tindakan sewajarnya untuk memastikan sektor pelancongan di Pulau Pinang selamat kepada pelawat dan pelancong.

Justeru, katanya, penggiat industri pelancongan utama di Pulau Pinang perlu mengambil kesempatan menaik taraf kemudahan mereka dan membuat persiapan sewajarnya untuk menyambut kembali kedatangan pelancong setelah wabak beransur pulih.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Khoo Boo Lim berkata hotel di Pulau Pinang telah menerima banyak pembatalan tempahan untuk bilik dan majlis.

Beliau berkata sebahagian besar pembatalan membabitkan pelawat dari Kuala Lumpur, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu, termasuk Selangor dan Putrajaya yang berkuat kuasa esok sehingga 27 Okt ini.

"Situasi ini dilihat tidak baik buat pengusaha hotel dalam tempoh ini dan kami menjangkakan kadar penginapan hotel di Pulau Pinang menurun kira-kira 10 peratus," katanya.

Beliau berkata warganet juga perlu berhenti menyebarkan berita palsu di media sosial yang boleh menimbulkan ketakutan yang tidak sewajarnya dalam kalangan masyarakat selain memberi impak buruk terhadap industri pelancongan.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.