UUM, MAH jalin kerjasama laksana PENJANA KPT-CAP

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 26 September 2020
Read News

LANGKAWI:

Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menjalin kerjasama dengan 30 ahli Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis untuk melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) - Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP).

Dekan STHEM UUM, Dr Johan Afendi Ibrahim berkata program yang bermula Oktober itu akan membantu siswazah menceburi bidang pekerjaan selepas tamat pengajian seterusnya membantu kerajaan mempertingkatkan kebolehpasaran graduan di dalam industri serta menyesuaikan diri dengan tuntutan baharu pasaran kerja susulan penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata 100 orang siswazah STHEM UUM dijangka terlibat dalam program itu.


"Hari ini kita mengadakan pertemuan bersama wakil hotel terlibat bagi membincangkan kaedah terbaik untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah dan mengenal pasti keperluan industri. 

"Hasil perbincangan hari ini kami akan menyediakan kertas cadangan seterusnya menawarkan peluang latihan kepada graduan untuk kita gilap kemahiran selaras keperluan industri pelancongan dan hospitaliti, " katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama wakil hotel terlibat di sini.

Razmi yang juga Felo Adjung UUM berkata pelaksanaan PENJANA KPT-CAP itu memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

"Ini situasi menang-menang untuk kedua pihak kerana pandemik COVID-19 menyaksikan ada hotel terpaksa memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja malah ada yang diberhentikan seterusnya hotel kehilangan pekerja berkualiti.

"PENJANA KPT-CAP memberi peluang kepada bekas graduan STHEM UUM untuk melakukan latihan pengurusan di hotel terlibat, ini bakal membolehkan pihak pengurusan membina satu pasukan baharu seterusnya membantu industri dan juga universiti terlibat. Sambutan diterima sangat baik sekarang lagi pun program ini tidak melibatkan kos yang terlalu tinggi kepada hotel yang terlibat," katanya.

Program itu melibatkan fasa latihan selama enam minggu di universiti dan fasa penempatan kerja di hotel terpilih selama enam bulan. 

Elaun latihan RM600 sebulan selama enam bulan diberikan kepada siswazah terlibat dalam fasa penempatan kerja, manakala majikan bertanggungjawab membayar gaji dalam jumlah tertentu sebagai tambahan kepada elaun berkenaan.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.