11 replika monumen terkenal ASEAN akan ditempatkan di dasar laut Pulau Bidon

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 9 April 2021
Read News

TERENGGANU:

Sebanyak 11 replika mercu tanda terkenal negara ASEAN akan ditempatkan di dasar laut Pulau Bidong, Terengganu melalui projek khas, 'The 1st ASEAN Underwater Mini Landmark'.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata projek yang diuruskan Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, akan dilancarkan antara 15 hingga 19 Jun depan, sempena penganjuran ASEAN Seminar on The Preservation and Protection of Underwater Cultural Heritage.

"Projek yang menelan kos dengan anggaran RM290,000 (AS$70,000) di bawah pembiayaan Tabung Kebudayaan ASEAN ini adalah Projek Kebudayaan yang akan menjadi platform bagi perkongsian ilmu dan pertukaran budaya di antara negara-negara ASEAN.

"Ia juga bakal menjadi produk pelancongan budaya baharu yang akan merancakkan ekonomi dalam sektor pelancongan dan kebudayaan di samping meningkatkan lagi imej Malaysia di mata dunia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Jerayawara Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 di sini.

Antara 11 monumen tersebut ialah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur-KLCC (Malaysia), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Cambodia), Patuxai Monument (Laos), Indonesia National Monument (Indonesia), Shwedagon Pagoda (Myanmar), Jose Rizal Monument (Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand) dan Tran Quoc Pagoda (Vietnam).

Sesi Jerayawara DPN 2020-2030 kali ini melibatkan tiga negeri di zon Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang yang diadakan secara hibrid iaitu pertemuan bersemuka dan secara dalam talian bersama-sama penggiat industri.

Pelbagai agenda transformasi yang memfokuskan kepada usaha untuk mengembalikan kegemilangan industri pelancongan pasca pandemik COVID-19, mengukuhkan daya tahan penggiat industri serta kemampanan industri pelancongan negara dibincangkan dalam sesi tersebut.

 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.