220 usahawan sertai 'Warna-warni Aidilfitri' pasarkan produk kraf untuk hari raya

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 20 April 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Seramai 220 usahawan menyertai promosi Warna-Warni Hari Raya Aidilfitri 2021 (WWA 2021) yang bermula 15 April lalu hingga 2 Mei depan bagi memberi peluang kepada mereka memasarkan produk kraf dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata daripada jumlah itu, 100 usahawan menyertai promosi tersebut di Kompleks Kraf Kuala Lumpur manakala 120 lagi di lapan lokasi pusat beli-belah terpilih di beberapa negeri.

Ini termasuk East Coast Mall di Pahang, KTCC Mall (Terengganu), AEON Mall Kuching (Sarawak), AEON Mall Kinta City (Perak), AEON Mall Nilai @ Seremban 2 (Negeri Sembilan), MYDIN Mall Bertam (Pulau Pinang), Freeport A'Famosa Outlet (Melaka) dan One Utama Shopping Centre (Selangor).

Nancy berkata promosi sebegitu perlu dilakukan secara aktif dan konsisten bagi meningkatkan kesedaran pengguna bahawa produk kraf tidak hanya relevan untuk kegunaan dan golongan tertentu sebaliknya bersifat universal.

"Saya menyeru kepada usahawan kraf untuk terus cekal, bersemangat serta berdaya saing dalam menghasilkan serta memasarkan produk kraf melalui apa jua kaedah dan saluran," katanya pada sidang media WWA 2021.

"Terokai dan gunakan kaedah platform digital yang disediakan oleh Kraftangan Malaysia seperti E-Kraf Bazar dan MYCRAFTSHOPPE agar usahawan kraf memperoleh manfaat terutamanya untuk jangka masa panjang," tambah Nancy.

WWA 2021 anjuran Kraftangan Malaysia membawa tema 'Kraf Di Hati, Hari Raya Aidilfitri Dinanti' yang menonjolkan kemeriahan sambutan melalui kreativiti dan idea baharu sesuai dengan persiapan menyambut hari lebaran.

Ia dibuka bermula 10 pagi hingga 6 petang (Isnin - Khamis) dan 10 pagi hingga 10 malam (Jumaat - Ahad) di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Antara pengisian sepanjang promosi itu ialah jualan produk kraf dan produk perkhidmatan Hari Raya Aidilfitri, pameran, demonstrasi kraf, interaktif kraf, demonstrasi masakan dan kuih tradisional serta pelbagai pertandingan lain, serta bazar Ramadan bagi menyediakan kemudahan ruang berbuka puasa kepada pengunjung.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.motac.gov.my serta sosial media rasmi Kraftangan Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan program itu.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.