58 syarikat Malaysia sertai CAEXPO 2020 - MATRADE

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 27 November 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

Sejumlah 58 syarikat tempatan akan mengambil bahagian dalam acara Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-17 yang dijadualkan bermula esok hingga Isnin depan.

Dalam satu kenyataan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata CAEXPO yang dianjurkan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Nanning juga buat pertama kali menggunakan model hibrid serta diadakan secara fizikal dan maya.

"Sebanyak 26 syarikat Malaysia akan menyertai pameran perdagangan fizikal termasuk empat agensi kerajaan iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Tourism Malaysia, Education Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

"Baki syarikat tempatan itu akan mengambil bahagian secara maya dan ini termasuk yang diterajui oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah serta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata Malaysia telah menyertai CAEXPO sejak 16 tahun lepas dalam usaha memudahkan akses perusahaan kecil dan sederhana memasuki pasaran China dan ASEAN.

Inisiatif model hibrid itu misalnya bertujuan membantu syarikat-syarikat Malaysia untuk terus memanfaatkan CAEXPO bagi mendapatkan akses bagi menembusi pasaran China dan ASEAN yang besar.

"Walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19 yang mengehadkan perjalanan antarabangsa, MATRADE terus menyediakan platform untuk membolehkan pengeksport Malaysia kekal berhubung dengan pembeli asing,” kata beliau.

Wan Latiff berkata MATRADE juga yakin dengan kemampuan syarikat terbabit untuk mencatat prestasi yang baik pada tahun ini berikutan penerimaan positif produk-produk Malaysia dalam CAEXPO.

Untuk rekod, CAEXPO 2019 telah disertai oleh 167 syarikat Malaysia yang berjaya menjana jualan berjumlah RM677.80 juta.

Pada tahun lepas, jumlah dagangan Malaysia dengan China mencecah RM315.20 bilion manakala eksport Malaysia ke China dan import dari China masing-masing pada RM139.61 bilion dan RM175.59 bilion.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.