Airasia Catat Jualan Harian Tertinggi Sebanyak 41,000 Tempat Duduk

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 25 June 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

AirAsia mencatat jualan harian tertinggi sebanyak 41,000 tempat duduk bagi seluruh kumpulan itu semalam, selepas tempoh hibernasi yang disifatkan sebagai menandakan permintaan tinggi bagi perjalanan udara.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes berkata laman sesawang syarikat penerbangan tambang rendah itu turut menyaksikan peningkatan trafik sebanyak 170 peratus.

Dalam kenyataan, beliau berkata tempahan destinasi paling popular bagi Malaysia adalah Kota Kinabalu dan Kuching ke Kuala Lumpur manakala Thailand melibatkan laluan Bangkok ke Chiang Mai dan Hat Yai.

Destinasi popular untuk Filipina termasuk Manila ke Puerto Princesa dan Davao, India meliputi Delhi ke Srinagar dan Bengaluru ke Hyderabad manakala Indonesia membabitkan laluan Jakarta ke Denpasar dan Medan.

Selain itu, purata muatan penumpang bagi kumpulan AirAsia adalah sebanyak 50 peratus dengan AirAsia Malaysia mencecah 70 peratus - tertinggi bagi aspek itu untuk tempoh pasca-hibernasi.

"Perkembangan positif itu menjadikan kami lebih bersemangat dan menjangkakan permintaan ini akan berterusan.

"Kami merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan sebanyak 50 peratus daripada operasi sebelum COVID-19 dan tidak sabar untuk ke semua laluan domestik pada minggu-minggu akan datang bagi menampung peningkatan permintaan," katanya.

Pada masa ini, AirAsia mengendalikan 152 penerbangan harian di serata rantau ini.

Beliau berkata syarikat penerbangan itu juga berharap untuk melihat pembukaan semula sempadan antarabangsa yang jelas menunjukkan kepentingan pengangkutan udara bagi memulakan serta memulihkan aktiviti-aktiviti ekonomi di peringkat global.

Fernandes berkata syarikat itu akan turut memperluaskan Pas Tanpa Had AirAsia ke pasaran lain tidak lama lagi susulan sambutannya yang memberangsangkan di Malaysia.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.