Airbnb, APEC kaji inisiatif kembalikan semula keyakinan pelancong

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 13 November 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

Pemulihan sektor perhotelan dan pelancongan, pasca COVID-19 bergantung kepada pelaburan, penyelenggaraan dan latihan yang mampan melalui kerjasama sektor awam dan swasta.

Airbnb, Kumpulan Kerja Pelancongan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Pusat Nasional bagi APEC (NCAPEC) berkata industri pelancongan boleh menjadi pemain utama dalam menyumbang kepada ekonomi untuk perubahan yang positif.

Mereka berkongsi pandangan dalam kenyataan bersama hari ini, bersempena dengan ‘Travel Reimagined: an Airbnb and APEC Forum’, satu siri perbincangan panel secara maya yang diadakan pada 3, 6 dan 11 November.


Airbnb, pasaran dalam talian untuk pengusaha hotel menunjukkan kerja jarak jauh meningkat, dengan 40 peratus daripada rakyat Malaysia kini mengamalkan gaya hidup baharu dan 21 peratus ingin bekerja secara jarak jauh, pada masa depan. 

Data baharu daripada kaji selidiknya baru-baru ini turut menunjukkan prospek bekerja sambil bercuti amat popular di Malaysia berikutan 78 peratus berminat untuk tinggal dan bekerja dari tempat lain selain daripada rumah untuk tempoh yang panjang.

Katanya perubahan persekitaran menjadi aspek paling menarik untuk gaya hidup nomad ini, dengan peluang untuk memberi nafas baharu kepada kehidupan kerja mereka.

Kaji selidik itu turut mendapati 73 peratus daripada rakyat Malaysia, 74 peratus daripada rakyat Korea, 84 peratus daripada rakyat Australia dan 72 peratus daripada rakyat Thailand berharap dapat melakukan perjalanan dalam negara mereka, menunjukkan trend meningkat untuk tinggal dan bekerja dari mana-mana sahaja di rantau ini. 

“Data tambahan turut menunjukkan carian utama untuk kemudahan Airbnb termasuklah sambungan WiFi dan penginapan yang mesra haiwan peliharaan, menyokong lagi trend mereka yang mahu menggabungkan bekerja dan melancong,” katanya.

Sesi pertama forum itu membincangkan keperluan untuk memudahkan pembukaan semula pintu sempadan dan mengkaji idea-idea yang inovatif, seperti laluan hijau dan visa kerja jarak jauh, untuk membolehkan industri pelancongan APEC kompetitif dan berdaya maju pada masa depan.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada mengenal pasti tonggak penting oleh ekonomi APEC sebagai isyarat untuk membuka semula pintu sempadan mereka dan inisiatif utama untuk mengembalikan semula keyakinan pelancong.

“Kini terdapat keperluan untuk mewujudkan bentuk perjalanan yang sihat dan mampan. Kita semua dalam industri mempunyai tanggungjawab untuk mempertimbangkannya dalam dunia pasca COVID-19,” kata Naib Presiden Kanan Dasar Global dan Komunikasi Airbnb Chris Lehane. 

Sementara itu, sesi kedua forum tersebut membincangkan bagaimana sekatan perjalanan telah menjejaskan sektor pelancongan dan perhotelan serta bagaimana usaha bersepadu dalam mencari penyelesaian yang mampan perlu dilakukan di seluruh dunia.

Sesi ketiga dan terakhir mengkaji bagaimana pertumbuhan ekonomi digital mewujudkan peluang baharu kepada masyarakat dalam persekitaran selepas pandemik, dan bagaimana industri pelancongan dapat memanfaatkannya berikutan mereka menjalin kerjasama yang baik antara sektor swasta dan awam ke arah pemulihan.

Dipengerusikan oleh Malaysia pada 2020, diikuti New Zealand dan Thailand pada 2021 dan 2022, Kumpulan Kerja Pelancongan APEC memberi keutamaan kepada forum ini dalam Pelan Strategik untuk 2020-2024 bagi menggalakkan transformasi digital dalam sektor pelancongan terutamanya dalam tempoh ini.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.