Aktiviti Pelancongan Domestik Negara Dijangka Berkembang 30 Peratus

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 1 July 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

 Aktiviti pelancongan domestik negara dijangka berkembang 30 peratus bagi tempoh enam bulan hingga setahun, pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata berdasarkan dapatan kajian agensi itu, pelancong tempatan dilihat lebih berani untuk melancong dalam negara semasa tempoh itu.

Jelasnya, corak pelancongan domestik juga dijangka berubah dengan segmen pelancongan keluarga menjadi pilihan utama.

"Sebaik sahaja Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengumumkan sektor pelancongan domestik dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun, kita lihat rakyat mula melancong di dalam negara selepas tarikh itu.

"Malah kajian mendapati trend melancong selepas ini, orang pilih melancong dengan keluarga. Oleh itu, pemain industri perlu bersedia dengan produk dan tawaran yang sesuai dengan permintaan segmen ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Seminar Pasca PKP Pemulihan Sektor Pelancongan dan pelancaran portal pelancongan domestik ditofa.com, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif ditofa.com Haffiz Halim.

Mengenai portal ditofa.com, Ammar berkata platform digital yang dibangunkan oleh anak tempatan itu adalah sebagai usaha membantu pemain industri bagi memasarkan serta mempromosi produk dan tawaran pelancongan mereka, khususnya selepas berdepan impak penularan COVID-19.

Beliau berkata portal itu bukan sahaja memudahkan tempahan hotel dan penginapan, malah ia menyediakan tawaran menarik bagi kategori Umrah, lokasi tarikan pelancong dan aktiviti pelancongan lain.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.