Beca elektrik akan diperkenal semula untuk tarik golongan muda

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 9 September 2020
Read News

KUALA TERENGGANU - :

 Kerajaan negeri Terengganu akan memperkenalkan semula beca elektrik dalam masa terdekat sebagai antara inisiatif menggalakkan lebih ramai golongan muda menjadi pengayuh beca di negeri ini terutama di sekitar Pasar Payang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata ketika ini terdapat 10 beca elektrik di Jabatan Pelancongan Negeri yang masih lagi mengekalkan ciri-ciri tradisi beca Terengganu dan sesuai untuk pengayuh beca generasi baharu.

“Terdapat juga beberapa inisiatif lain yang akan kita perhalusi untuk menarik minat golongan muda menjadi pengayuh beca. Dengan mengambil kira faktor kemasukan pelancong yang ramai ke Terengganu, mengayuh beca sebenarnya boleh menjadi satu sumber pendapatan baharu kepada anak muda,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Pakaian Kepada Pengayuh Beca di Pasar Payang.

Ariffin berkata meskipun terdapat 48 pengayuh beca yang berdaftar namun hanya kira-kira 20 orang sahaja yang masih aktif berikutan mengalami masalah kesihatan dan faktor umur.

Selain itu, Ariffin berkata kerajaan negeri turut bercadang untuk menempatkan beberapa pengayuh beca di sekitar kawasan Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Losong sebagai tarikan pelancongan.

“Itu adalah sebahagian perancangan kita. Mungkin pengayuh beca dari TTI boleh membawa penumpang berjalan-jalan sekitar Muzium Negeri dan Kampung Budaya Terengganu,” katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.