Benar rentas daerah bantu pulih sektor pelancongan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 18 February 2021
Read News

KUANTAN:

Kerajaan sewajarnya membenarkan pergerakan rentas daerah di negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membantu sektor pelancongan domestik dan perhotelan kembali bernafas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sektor itu begitu terkesan ketika ini ekoran rakyat tidak dibenarkan merentas daerah dan juga negeri. 

“Had kapasiti dalam kenderaan telah dibenarkan mengikut saiz kenderaan, rakyat dibenarkan bergerak lebih 10 kilometer radius, tetapi untuk rentas daerah rakyat masih tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Tentunya segala prosedur operasi standard (SOP) akan dipatuhi oleh penggiat sektor pelancongan dan perhotelan jika kebenaran merentas daerah diberikan,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang akan pada 18 Februari ini dilanjutkan lagi selama 14 hari sehingga 4 Mac.

Pelanjutan tempoh itu dibuat oleh kerajaan memandangkan kadar jangkitan baharu Covid-19 di empat negeri terbabit masih tinggi.

Negeri-negeri lain iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Putrajaya, Labuan serta Sabah pula diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB) untuk tempoh dua minggu lagi.

Selain itu, kerajaan juga membuat keputusan membatalkan arahan tidak boleh bergerak melebihi 10 kilometer radius di semua negeri. Bagaimanapun, pergerakan merentas daerah (kecuali di Perlis ) dan negeri masih dilarang.

Mohd. Sharkar berkata, perhotelan sebagai contoh, sektor itu kini sedang bergelut untuk terus bertahan demi kelangsungan perniagaan dan berharap kerajaan tidak melarang rentas daerah untuk membolehkan aktiviti pelancongan domestik kembali aktif.

“Sebagai contoh, memetik kenyataan Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho), sejak PKP 2.0 dilaksanakan 13 Januari lalu, enam hotel ditutup, manakala terdapat banyak hotel yang beroperasi dengan terpaksa memotong 50 peratus gaji pekerja dan cuti tanpa gaji.

“Jika kerajaan terus melarang rentas daerah, dibimbangi penggiat industri pelancongan dan industri perhotelan akan terus terbeban kerana hilang punca pendapatan,” katanya. 

Beliau berkata, terpulang kepada kerajaan jika masih memerlukan masa untuk melaksanakan pergerakan rentas negeri, tetapi rentas daerah di negeri-negeri yang dilaksanakan PKPB perlu dibenarkan. 

“Ini penting demi kelangsungan ekonomi semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan. Jika tidak, sektor pelancongan negeri dibimbangi akan lumpuh,” katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.