Cameron Higlands Kembali Dengan Kunjungan Orang Ramai

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 30 June 2020
Read News

CAMERON HIGHLANDS:

Selepas hampir tiga bulan sunyi dan lengang, kawasan pelancongan tanah tinggi Cameron Highlands ini, kembali dengan kunjungan orang ramai, berikutan kelonggaran yang diberikan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Suhu dingin kadang kala serendah 14 darjah celsius, menjadikan Cameron Highland antara tumpuan pelancong domestik, lebih-lebih kerajaan belum membenarkan percutian ke luar negara dan antara lokasi wajib kunjung pastinya pasar Kea Farm, ladang teh serta kebun bunga.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Pahang Datuk Idros Yahya berkata, pihaknya mendapati kehadiran pelancong selepas kebenaran merentas negeri, tertumpu kepada kawasan ekotourism dan lokasi makanan yang enak.

“Ramai rakyat suka mengunjungi negara beriklim sejuk seperti New Zealand, China, Korea dan Jepun, namun apabila mereka tidak boleh membuat perjalanan keluar negara, mereka mencari kawasan pelancongan kawasan tanah tinggi terutamanya Cameron Highlands,” katanya.

Menarik perhatian, sebanyak 109 hotel di Cameron Highlands mula menerima tempahan, beberapa jam selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran rentas negeri, termasuk pelancongan domestik pada 7 Jun lalu.

Idros turut menyarankan pengusaha di sekitar tanah tinggi itu supaya menggunakan kreativiti, dengan melakukan pembaharuan produk pelancongan, supaya dapat menarik lebih ramai kehadiran pengunjung dan memastikan mereka tinggal lebih lama di premis yang ada.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Copthorne Cameron Highlands Patrick Tee berkata, penutupan hotel semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memberi kesempatan kepada pihaknya untuk memperbaiki modul perniagaan dan meningkatkan strategi pemasaran premis, yang beroperasi sejak 1996.

Beliau berkata, selain melakukan sanitasi dan penyelenggaraan di sekitar hotel yang mempunyai 317 bilik itu, pihaknya turut merancang program-program menarik antaranya '7 Wonders Copthorne Hotel', yang memperkenalkan tujuh lokasi menarik untuk dikunjungi di kawasan berhampiran antaranya pasar Kea Farm.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti pengambilan suhu badan juga diamalkan, selain tetamu boleh mendaftar masuk tanpa berurusan di kaunter menerusi aplikasi Sanarp, supaya lebih selamat tanpa sentuhan,” katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.