Dua taman marin di Sabah bakal diwartakan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 31 March 2021
Read News

SABAH:

Kerajaan negeri Sabah bakal mewartakan dua taman marin baharu dalam tempoh terdekat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata ia membabitkan Taman Teluk Darvel di Lahad Datu dan Taman Marin Terumbu Mantanani di Kota Belud.

"Kementerian saya komited untuk memastikan biodiversiti marin khususnya ekosistem habitat terumbu karang terus terpelihara.

"Disamping itu, usaha ini juga disebabkan pihak saya mementingkan aspek keselamatan makanan, sara hidup mapan dan pembangunan ekopelancongan di perairan dan kepulauan Sabah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan Taman Tun Mustapha, Jafry berkata pihaknya dimaklumkan terdapat pelan pengurusan khusus yang diusahakan bagi mengurus kawasan berkenaan.

Menurutnya, usaha membangunkan pelan pengurusan ini dimulakan sejak lama sebelum taman diwartakan, membabitkan perbincangan serta rundingan banyak pihak.

Taman Tun Mustapha merangkumi beberapa zon perairan iaitu Zon Pemeliharaan, Zon Kegunaan Komuniti, Zon Pelbagai Guna dan Zon Perikanan Komersial di mana setiap zon mempunyai objektif konservasinya sendiri bagi mengawal aktiviti tertentu.

Pewartaan Taman Tun Mustapha banyak memberi manfaat kepada komuniti khususnya melalui pembabitan program dalam Zon Kegunaan Komuniti.

Kapal Si Buding berperanan sebagai kemudahan pejabat dan stesen bergerak untuk Taman Tun Mustapha.

Sementara itu Jafry berkata beliau dimaklumkan beberapa program dilaksanakan Taman-Taman Sabah bersama pihak lain seperti WWF Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan beberapa agensi lain sedang berlangsung.

"Contohnya seperti kerjasama pelancongan komuniti Supirak-Pitas, pemeliharaan penyu di Tigabu, pelantikan Renjer Kehormat Taman, program kampung angkat dan pembangunan kawasan Zon Pemeliharaan Komuniti di Berungus.

"Juga Program Penambahbaikan Perikanan di beberapa kampung terpilih di Teluk Marudu yang mencetuskan kepada usaha berterusan memulihara industri perikanan secara mapan," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.