Gelembung perjalanan zon hijau mampu selamatkan industri pelancongan di Sarawak

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 25 November 2020
Read News

SARAWAK:

Pengenalan inisiatif Gelembung Perjalanan Domestik Zon Hijau oleh Kerajaan Persekutuan yang bertujuan mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan Malaysia mampu menyelamatkan industri itu di Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata inisiatif itu yang diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri merupakan satu inisiatif yang amat diperlukan bagi membolehkan industri tersebut terus aktif meskipun terjejas akibat pandemik COVID-19.

Katanya inisiatif Gelembung Perjalanan Domestik Zon Hijau yang bermula 22 Nov lepas akan merangsang strategi kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan bagi memulihkan keyakinan pengunjung untuk melakukan perjalanan dan pada masa sama, menghidupkan kembali pelancongan domestik.

“Pengenalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diluluskan bagi pelancong tempatan juga tepat pada masanya kerana ia akan membolehkan pergerakan antara zon hijau dalam negara dan seterusnya (melalui) sempadan kita. Oleh itu, langkah sedemikian akan memberikan sumbangan yang bermakna kepada sektor pelancongan tempatan kita,” menurutnya dalam kenyataan.

Abdul Karim turut memuji keputusan Kerajaan Persekutuan menawarkan inisiatif lain yang meliputi penginapan, pengangkutan dan diskaun bagi pembelian produk kraf tangan di outlet Karyaneka.

“Sokongan yang diberikan kepada industri kraf tangan tempatan melalui Karyaneka akan membantu kehidupan tukang kraf tempatan kita dan mewujudkan aktiviti yang mampu menjana pendapatan yang telah terjejas akibat penularan COVID-19,” katanya.


Abdul Karim juga menggesa pemilik hotel dan penyedia penginapan agar menyokong inisiatif kerajaan dengan menawarkan pelbagai pakej bilik yang mampu menarik perhatian pengunjung bagi merebut peluang mendapatkan diskaun untuk digunakan dalam perjalanan domestik mereka pada masa akan datang.

“Pelancong tempatan kini mencari promosi diskaun dan kempen ‘Sia Sitok’ yang dilancarkan baru-baru ini oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak (MTACS) serta pemain industri pelancongan tempatan telah terbukti menerima sambutan memberangsangkan dalam kalangan penduduk di Sarawak.

“Semua pemain industri pelancongan kita perlu cuba menawarkan pakej percutian jangka pendek atau panjang kepada penduduk tempatan dan pada masa sama, meneruskan SOP di bawah norma baharu bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi selain kelestarian ekonomi pelancongan negara,” katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.