Hameediyah, restoran nasi kandar tertua di Malaysia

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 8 July 2020
Read News

PULAU PINANG :

 Restoran Hameediyah Pulau Pinang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai restoran nasi kandar tertua di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi MBR, Christopher Wong berkata restoran nasi kandar berusia lebih 100 tahun itu mula beroperasi di Lebuh Campbell, di sini sejak tahun 1907 dan masih popular sehingga kini.

“Restoran nasi kadar keluarga ini telah beroperasi selama hampir 114 tahun dan kini diwarisi oleh generasi ketujuh keluarga berkenaan," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Wong menyerahkan sijil pengiktirafan MBR itu kepada pemilik restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Shukor sambil disaksikan Anggota Dewan Undangan Negeri Komtar, Teh Lai Heng.

Dalam pada itu, Ahamed melahirkan kesyukuran atas pengiktirafan MBR itu dan berjanji akan terus menghidangkan makanan dan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan restoran berkenaan.

"Kami sangat gembira atas pengiktirafan ini dan kami berasa sangat istimewa dan dihormati," katanya.

Menurutnya, restoran Hameediyah menerima ramai tetamu terhormat, seperti pelakon, menteri bahkan Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.

“Seri Paduka Baginda berkenan berkunjung ke sini (Restoran Hameediyah) tahun ini, tetapi seperti kebanyakan pelanggan, kedatangan baginda tidak dijadualkan tetapi sekadar untuk menikmati makanan di sini," katanya.

Sementara itu, Ahamed berkata restoran itu akan mewarisi resipi restoran keluarga itu kepada generasi seterusnya dan bercadang mengembangkan perniagaan ke seluruh negara.

Kini cawangan Restoran Nasi Kandar Hameediyah terdapat di Butterworth dan Kota Damansara, Petaling Jaya.

"Kami akan membuka cawangan di Sungai Ara di sini, yang dijangka dibuka bulan depan," kata Ahamed.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.