Industri bas, pelancongan makin kritikal

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 2 September 2021
Read News

JOHOR:

Penggerak industri dan pelancongan di negara kini didakwa semakin kritikal akibat keadaan pandemik COVID-19 yang berterusan sejak tahun lalu.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia, R Thiagarajan, berkata wabak COVID-19 yang berpanjangan itu juga tidak menampakkan sebarang petanda bahawa penggerak industri bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran dapat beroperasi seperti dahulu.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor mendakwa, paling teruk terjejas ialah pengusaha bas persiaran dan bas sekolah dan ramai juga pemandu hilang pekerjaan dan cari pekerjaan lain.

"Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) selaku jawatankuasa bebas penggerak industri bas dan pelancongan negara dengan ini ingin memaklumkan bahawa keadaan industri bas dan pelancongan negara semakin lumpuh.

"SGBM berterima kasih dengan pihak kerajaan terdahulu kerana memberi pelbagai insentif dan bantuan 'one off' bagi menampung kehidupan seharian penggerak industri.

"Namun demikian, kami faham bantuan sedemikian ini tidak boleh berterusan kerana kapasiti negara dalam mengharungi cabaran kemelesetan ekonomi.

"Kami berharap dengan kepemimpinan dan Kabinet baharu Keluarga Malaysia dapat memberikan penekanan dan perhatian ke atas industri bas dan pelancongan negara yang semakin kritikal.

"Kini ramai pengusaha bas sedang berhadapan situasi yang amat kritikal. Kami harap kerajaan mengkaji semula semua skim dan insentif yang pernah diperkenalkan dahulu dan mengkaji keberkesanan terhadap industri bas dan pelancongan negara kerana inisiatif dan skim yang diperkenalkan tidak menyeluruh dan hanya berpihak pada golongan tertentu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Thiagarajan berkata, skim dan inisiatif yang diperkenalkan harus memberi keutamaan kepada golongan yang betul-betul terkesan.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat 6,000 pemandu bas di seluruh negara dan pandemik COVID-19 mengakibatkan hanya tinggal kira-kira 200 pemandu bas.

"SGBM berharap kementerian berkaitan dapat memberi ruang untuk berjumpa kami bagi membincangkan input membantu kerajaan merangka pelan bantuan lebih progresif dan berkesan demi kelestarian industri bas dan pelancongan negara.

"Kami bersedia menggembleng tenaga pengusaha atau pemandu bagi membantu menggerakkan usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.