Industri kebudayaan, kesenian rugi RM85 juta akibat Covid-19

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 8 April 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Penggiat industri kebudayaan dan kesenian kerugian kira-kira RM85 juta dalam tempoh setahun akibat pandemik Covid-19, demikian menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Berikutan perkembangan itu, beliau melihat pentingnya keperluan untuk memulihkan semula badan bukan kerajaan (NGO) kebudayaan bagi membolehkan sektor yang berkaitan seni, budaya dan warisan bergerak aktif walaupun dalam situasi serba mencabar masa kini.

Nancy dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak RM2.21 juta diperuntukkan kepada 217 NGO pada tahun lepas bagi menyemarakkan industri seni, budaya dan warisan.


Daripada jumlah keseluruhan peruntukan yang diluluskan Jawatankuasa Panel Penilai Kebudayaan (JPPK) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu, RM1.63 juta adalah untuk 30 permohonan bantuan kegiatan persatuan, manakala RM582,500 disalurkan kepada 187 persatuan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, katanya.

Bagi membolehkan NGO kebudayaan bergerak aktif semula dalam situasi mencabar ketika ini, Nancy memaklumkan bahawa sesi libat urus diadakan secara berperingkat bagi memberi peluang kepada NGO dan MOTAC berkongsi pendapat serta bertukar pandangan.

Dalam sesi libat urus yang telah diadakan antara NGO berkaitan yang hadir adalah Persatuan Seni Bangsawan Bintang Timur, Persatuan Seni dan Teater Selangor, Persatuan Pemuzik Malaysia dan Persatuan Karyawan Malaysia.

Berkongsi mengenai cadangan yang disuarakan sektor seni persembahan yang mahu lebih penonton fizikal iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus kapasiti, Nancy berkata keperluan itu bergantung kepada situasi Covid-19 dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti persembahan.

“MOTAC dari semasa ke semasa menyediakan SOP bagi membolehkan pembukaan semula sektor-sektor kebudayaan, namun keputusannya adalah tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan,” kata Nancy.

Mengenai cadangan wakil industri muzik agar dana disuntik oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan MOTAC supaya persembahan muzik di hotel diaktifkan semula, beliau berkata perkara tersebut akan diteliti sebelum diusulkan kepada KKMM.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.