Kebenaran jadikan hotel pusat kuarantin bergantung pada kerajaan negeri

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 27 July 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

Kebenaran untuk menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin COVID-19 bergantung pada kerajaan negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata dari satu segi, kebenaran itu dapat membantu pengusaha hotel meningkatkan kadar penghunian susulan kekurangan kedatangan pelancong.

“Setiap negeri mempunyai Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 masing-masing dan terdapat negeri-negeri yang mahu menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin bagi melestarikan operasinya berikutan sektor pelancongan kini telah pun dibuka,” katanya.

Mohd Redzuan berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus antara Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan agensi Kerajaan, agensi bukan kerajaan serta Koperasi Negeri Perak di sini.

Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan negeri Melaka yang dilaporkan tidak membenarkan hotel dijadikan pusat kuarantin COVID-19 bagi mengelak sektor pelancongan yang merupakan antara penyumbang utama ekonomi negeri itu terjejas.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata mana-mana hotel perlu memohon kepada  Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri masing-masing jika ingin menawarkan perkhidmatan kuarantin kepada individu yang baru pulang dari luar negara.

Sementara itu, beliau berkata sesi libat urus di Perak , iaitu yang keempat selepas Sabah, Kedah dan Kelantan, bertujuan menguar-uarkan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang akan dilaksanakan Teraju, Yayasan Peneraju dan SEPADU bagi membantu golongan B40.

Katanya sesi itu juga merupakan persediaan bagi pihak kerajaan negeri menerapkan iltizam WKB 2030 dalam program yang dilaksanakan menerusi agensi dan jabatan kerajaan negeri seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan serta  pejabat-pejabat daerah dan tanah.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.