Kelab Malam dan Bistro Tidak Dibenarkan Beroperasi Sepanjang PKPB

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 19 May 2020
Read News

SARAWAK:

Kelab malam dan restoran yang berkonsepkan bistro tidak dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, terdapat premis dalam kategori berkenaan mengambil peluang untuk beroperasi sejak pembukaan sektor ekonomi negeri itu pada 12 Mei lalu.

“Terdapat salah faham kerana ada premis seperti restoran berkonsepkan bistro masih dibuka. Jadi kami ambil keputusan untuk tidak membenarkan premis-premis seperti ini beroperasi terlebih dahulu,” katanya.

Jelas Uggah, keputusan jawantankuasa ini diambil kerana pengoperasian premis berkenaan melibatkan perhimpunan ramai yang boleh meningkatkan risiko penyebaran COVID-19.

Tambah beliau, amaran dan arahan penutupan premis akan dikeluarkan kepada pemilik kedai, syarikat dan pasaraya sekiranya mereka ingkar dalam pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Jadi kita berharap semua yang telah diberi peluang semasa pembukaan sektor ekonomi ini mengikut garis panduan seperti mengawasi penjarakan sosial dan kebersihan untuk mengekang penularan COVID-19,” jelasnya.

Sementara itu, Sarawak berjaya merekodkan sifar kes lima hari berturut-turut dalam perkembangan terbaharu positif COVID-19 di negeri itu.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai untuk terus memberikan kerjasama dan mengambil serius pendekatan normal baharu yang diaplikasi dalam pelbagai sektor di negeri tersebut.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.