Kerajaan Perak cari penyelesaian ceriakan Bandar Agacia Kampar

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 15 September 2020
Read News

KAMPAR:

Kerajaan Negeri Perak melalui Majlis Daerah Kampar akan mencari penyelesaian terbaik bagi menghidupkan kembali Bandar Agacia atau lebih dikenali sebagai ‘The Trails of Kampar’.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata walaupun kawasan berkenaan adalah milik syarikat persendirian, namun kerajaan negeri akan berusaha menaikkannya semula kerana ia adalah salah satu lokasi tarikan pelancong ke negeri ini.

"Bandar Agacia adalah milik syarikat persendirian tetapi saya sarankan kepada majlis daerah supaya berbincang bersama pemaju agar ia tidak terbiar begitu sahaja. Kita akan cuba lihat apa yang boleh kita bantu untuk bangunkan semula lokasi itu," katanya, mengulas mengenai keadaan Bandar Agacia yang semakin terbiar menjadi seakan ‘pekan koboi’.


Terdahulu beliau menyampaikan bantuan pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada P. Ramasamy di Taman Melor di sini.

Kira-kira dua tahun lepas, Bandar Agacia, yang dibina daripada tapak tinggalan aktiviti perlombongan bijih timah suatu ketika dahulu, menjadi lokasi tarikan pelancong kerana reka bentuk deretan kedai tiga tingkat di situ yang unik dan menyerupai Taman Tema Disney.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19 juga menjadi antara faktor kawasan berkenaan menjadi suram.

Dalam pada itu, beliau berkata prestasi sektor pelancongan negeri ini adalah di luar jangkaan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Daripada segi tempahan hotel sehingga bulan lalu berdasarkan 50 sampel hotel seluruh Perak, kita mendapat 67,000 tempahan. Ini menunjukkan bahawa industri pelancongan domestik semakin rancak.

Antara lokasi yang mendapat kunjungan ramai pelancong ialah Pulau Pangkor, Ipoh, Gopeng, Taiping dan Royal Belum," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nolee Ashilin berkata ekoran kehadiran pelancong yang semakin ramai di Pulau Pangkor, kerajaan negeri sedang berusaha melakukan penambahbaikan di Pulau Bebas Cukai itu.

Katanya selain meminta kelonggaran daripada Kementerian Kewangan supaya pembelian barangan bebas cukai diberikan kepada pelancong yang datang kurang dari 48 jam, kerajaan negeri juga berusaha untuk menaik taraf jeti di Pulau Pangkor.

"Sebagai contoh untuk tempoh tiga hari bermula 11 Sept jumlah pelancong yang masuk adalah seramai 14,059 orang dan keluar dari Pangkor adalah seramai 12,797," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.