Kerajaan perhalusi SOP melancong ke luar negeri

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 10 April 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Kerajaan sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan rakyat Malaysia kembali melancong ke luar negeri melalui perkhidmatan syarikat pengendali pelancongan berlesen termasuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), dalam kenyataan,berkata draf SOP itu telah melalui beberapa siri perbincangan bersama penggiat industri dan dibentangkan kepada pelbagai kementerian peneraju dan agensi kerajaan untuk ditambah baik.

Menurut kenyataan itu, MOTAC menyertai delegasi Malaysia ke Arab Saudi bagi lawatan kerja rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bermula 9 April 2021 hingga 18 April 2021 berkaitan haji dan umrah.

"Kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan dasar-dasar baharu dan mengenakan SOP yang ketat selaras dengan pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa negara itu termasuk membenarkan semula aktiviti umrah kepada umat Islam selain warganegara Arab Saudi pada 1 November 2020.

"Selaku kementerian yang mengawal selia pengendalian pakej umrah atau ziarah, lawatan kerja ini penting bagi melihat aspek SOP bagi kedua-dua negara, hal-hal kebajikan jemaah Malaysia ketika mengerjakan umrah dan cadangan kelonggaran untuk dipertimbangkan kerajaan Arab Saudi kepada penggiat industri umrah Malaysia yang terkesan disebabkan wabak COVID-19," menurut kenyataan itu.

Menurut MOTAC, hasil lawatan kerja ke Arab Saudi ini diharap akan memperkemas cadangan kementerian kepada kerajaan berhubung membenarkan rakyat Malaysia kembali melancong ke luar negeri termasuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah.

Katanya, sehingga ketetapan baharu oleh kerajaan dibuat, perjalanan ke luar negeri bagi tujuan tidak penting seperti aktiviti pelancongan, mengerjakan ibadah umrah dan ziarah adalah dilarang. 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.