Kerajaan Pulau Pinang Peruntuk RM 1 Juta Untuk Menjana Semula Ekonomi Sektor Warisan Dan Budaya

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 7 July 2020
Read News

PULAU PINANG:

Kerajaan negeri Pulau Pinang melalui George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) memperuntukkan RM1 juta untuk menjana semula ekonomi sektor warisan dan budaya negeri dalam menghadapi kebiasaan baharu.

Projek yang diberi nama 'Normal Baharu di George Town' itu memfokuskan kepada menyokong perniagaan tempatan, membaik pulih bangunan warisan dan memperkasakan pemasaran digital.

"Kira-kira 3,000 perniagaan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan 5,000 perniagaan yang merupakan sebahagian daripada rantaian ekosistem budaya dan kewangan boleh mengambil bahagian dalam projek ini.

“GTWHI berharap dapat membimbing dan membantu perniagaan tempatan untuk menerokai peluang perniagaan dan pelanggan baharu melalui dunia digital," menurut GTWHI dalam kenyataan.

Tambahnya, dalam usaha membaik pulih bangunan warisan, projek itu menyediakan bantuan kewangan secara bayaran balik dengan maksimum sebanyak RM1,500 secara sekali gus untuk pemilik atau penyewa bangunan warisan kategori I dan kategori II kepada 267 pemilik atau penyewa bangunan.

Antara kerja penambahbaikan yang dibenarkan ialah menaik taraf pendawaian elektrik, mengecat semula dinding dalaman dan luaran bangunan, membuang tumbuh-tumbuhan dari fasad, merawat masalah anai-anai atau kerja-kerja lain dengan mematuhi peraturan dan undang-undang warisan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Kawasan Khas George Town.

Dalam pada itu, usaha pemerkasaan pasaran digital pula memfokuskan kepada individu atau perniagaan yang masih belum mempunyai strategi pemasaran digital. Pemohon perlu mencadangkan video yang berdurasi lima hingga 20 minit bagi berkongsi kemahiran, pengetahuan atau proses kerja tangan mereka.

"GTWHI akan membimbing pemohon disenarai pendek dengan kaedah rakaman video dan cara perkongsian platform digital. Rakaman video dan maklumat perniagaan akan dipromosikan ke dalam laman sesawang dan saluran media sosial GTWHI...pemohon yang berjaya melengkapkan projek ini akan mendapat insentif sekali sebanyak RM1,500," menurut kenyataan itu.

GTWHI menjemput pemohon yang layak dan berminat untuk mendaftar dengan menghubungi GTWHI di talian 04-2616606 dari 10 pagi hingga 4 petang bermula Isnin hingga Jumaat.

Pemohon juga digalakkan untuk mendaftar secara dalam talian yang disediakan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan Inggeris sebelum 31 Ogos. Untuk maklumat lebih lanjut, pemohon diminta melayari www.gtwhi.com.my atau e-mel di info@gtwhi.com.my.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.