Kerajaan waspada sebelum buka pelayaran persiaran antarabangsa

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 24 December 2021
Read News

PULAU PINANG :

Biarpun pelayaran persiaran tempatan dibenarkan beroperasi kembali, kerajaan tetap mengambil langkah berhati-hati sebelum membuka semula sektor pelayaran persiaran antarabangsa berikutan gelombang baharu COVID-19 yang dibawa varian Omicron.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata berdasarkan situasi semasa, adalah terlalu awal untuk mengulas mengenai pembukaan pelayaran persiaran antarabangsa.

Beliau berkata, negara lain juga mengambil langkah sama dalam memerangi COVID-19 terutama varian Omicron.

"Pada masa ini, kami tidak boleh mengulas mengenai pembukaan pelayaran persiaran antarabangsa kerana Omicron … jadi kami akan menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa kesihatan kerana kami masih lagi berpandukan peraturan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya selepas merasmikan majlis bermulanya semula aktiviti pelayaran persiaran di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng dan Naib Presiden Bahagian Jualan Genting Cruise Lines, Cynthia Lee.

Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan, KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa berbincang untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia.


Beliau berkata, pengoperasian semula pelayaran persiaran tempatan, SPCT dijangka mengendalikan 660,318 penumpang daripada 995 kapal persiaran tahun depan.

Katanya, sebelum COVID-19, SPCT mengendalikan lebih sejuta penumpang setahun dari 2013 hingga 2019 sebelum aktiviti pelayaran persiaran digantung sejak April 2020.

"Saya pasti bermulanya kembali aktiviti pelayaran persiaran ini memberi kelegaan kepada industri dan menjana pelbagai kesan limpahan ekonomi terutama kepada usahawan kecil dan sederhana, pemandu teksi, e-hailing, pemilik restoran, penarik beca dan penggiat industri pelancongan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kajian dijalankan pengendali pelayaran persiaran ke atas penumpang mereka, kebanyakan mereka menggemari Pulau Pinang kerana lokasi terminalnya strategik dan terletak di tengah bandar.

"Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang juga merancang mengadakan satu pelan koordinasi pelayaran persiaran tahun depan dengan keutamaan meletakkan SPCT sebagai pelabuhan pangkalan untuk aktiviti pelayaran persiaran," katanya.

Sementara itu, Cynthia berkata, Star Cruise sudah mengambil pelbagai langkah pencegahan mengikut keperluan tempatan dan piawaian antarabangsa.

"Setiap individu dalam pelayaran persiaran perlu lengkap divaksinasi dan penumpang perlu menjalani ujian 'Antigen Rapid Test' di SPCT sebelum menaiki kapal bagi memastikan keselamatan kru dan penumpang lain," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.