Korea Selatan, Jepun teruja menanti pelancong Malaysia

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 1 year ago on 4 May 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

 Berita mengenai kerajaan Malaysia mengumumkan pembukaan semula sempadannya pada 1 April disambut baik oleh wakil pertubuhan pelancongan Korea Selatan dan Jepun di ibu negara.

Pengarah Urusan Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO) Malaysia & Brunei, Yang Kyung Soo, berkata langkah itu seperti "membuka pintu" untuk lebih ramai pelancong Malaysia melawat tanah airnya.

Seperti Malaysia, negaranya juga membuka pintu sempadan kepada pelawat berkuat kuasa 1 April, ditambah dengan KTO yang secara konsisten mempromosikan produk budaya dan pelancongan Korea Selatan sepanjang pandemik itu.

Minat yang ‘menular’ terhadap aliran Hallyu atau Gelombang Korea dalam kalangan rakyat Malaysia membantu mewujudkan permintaan dengan Korea Selatan menjadi destinasi yang dicari dan menjadi antara pilihan teratas rakyat Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka yang seterusnya.

"Sepanjang tempoh pandemik, kami melihat semakin ramai rakyat Malaysia menikmati pelbagai K-drama, K-movie, kandungan K-pop dan K-food. Ramai daripada mereka ingin ke Korea Selatan dan merasai sendiri pengalaman Korea sebenar seperti yang ditonton di skrin.

"Itulah sebabnya tahun ini kami mengadakan promosi secara khusus destinasi pelancongan yang pernah dilihat dalam K-drama, K-movies dan lain-lain.

"Sebagai contoh, kami mengadakan promosi ‘Peraduan Susunan Perjalanan Hallyu Korea’ yang membolehkan peserta membuat jadual perjalanan Korea mereka sendiri berdasarkan lokasi K-drama dan rakaman video kegemaran mereka, dan memenangi hadiah,” kata Kyung Soo.

Kyung Soo berkata, meskipun industri pelancongan akan mengambil sedikit masa untuk pulih berikutan SOP dan sekatan perjalanan, beliau optimis dengan sambutan itu dan yakin pengembara tidak sabar untuk datang ke Korea Selatan.

"Berdasarkan dapatan tinjauan terbaharu kami di Matta Fair 2022, kira-kira 26 peratus pengembara berkemungkinan melancong ke Korea Selatan dalam tempoh 6 bulan akan datang.

"Oleh itu, pada 2022, kami mensasarkan pemulihan kira-kira 30 peratus pelancong berbanding 2019, dengan jumlah pelancong Malaysia yang melawat Korea Selatan adalah sekitar 400,000,” tambahnya.

Malaysia dan Korea Selatan membuka semula pintu sempadannya pada 1 April tanpa kuarantin mandatori bagi pengembara. Pihak Malaysia seterusnya mengumumkan kelonggaran peraturan dengan menghapuskan keperluan ujian dan perlindungan insurans perubatan untuk pengembara yang lengkap divaksin berkuat kuasa 1 Mei.

Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) Kuala Lumpur turut menyambut baik langkah Malaysia membuka semula pintu kepada pengembara dengan harapan rakyat Malaysia akan melawat Jepun sebaik sahaja sempadan negaranya dibuka.

Pengarah Eksekutifnya Fumi Matsumoto berkata walaupun Jepun masih ditutup kepada pelancong buat masa ini, ia secara beransur-ansur mula melonggarkan sekatan sempadan di peringkat nasional.

"Berkenaan dengan pelancong antarabangsa, kami di JNTO masih menunggu pengumuman daripada kerajaan Jepun. Memandangkan Malaysia sudah mula menerima pelancong antarabangsa yang divaksin tanpa mengenakan kuarantin seperti yang diumumkan baru-baru ini, kita tahu bahawa rakyat Malaysia berminat untuk melancong ke luar negara.

"Jepun sentiasa menjadi destinasi popular bagi rakyat Malaysia, jadi kami pasti berharap ramai daripada anda akan melancong ke Jepun sebaik sahaja sempadannya dibuka semula,” katanya.

Walaupun masih terdapat isu yang perlu dipertimbangkan, seperti ketersediaan penerbangan, pengiktirafan vaksin oleh Jepun dan prosedur untuk mendapatkan sijil keputusan ujian negatif, Matsumoto berkata ia akan mengambil sedikit masa sebelum perjalanan antarabangsa antara kedua-dua negara kembali ke tahap pra-pandemik.

Menurut beliau, pejabat JNTO Kuala Lumpur sudah bersedia untuk membawa pelancongan budayanya ke tahap yang lebih tinggi.

"Dalam tinjauan maklum balas kami baru-baru ini, kami dapati bahawa trend pra-pandemik perjalanan ke Jepun yang dicari rakyat Malaysia tidak berubah malah sehingga kini, dua jawapan teratas masih makanan dan alam semula jadi (iaitu empat musim).

"Sudah tentu, setiap wilayah mempunyai daya tarikan berbeza dengan budaya unik dan tradisi berharga yang kami jangka menarik dan berbaloi untuk dinikmati pelancong antarabangsa.

"Dengan bergerak mempromosikan budaya dan tradisi, kami berharap dapat memperkenalkan dan membawa lebih ramai pelancong ke wilayah lain yang kurang dikenali dan kurang dilawati. Ia juga akan membawa mereka menjauhi kawasan popular yang sesak untuk perjalanan yang lebih menyegarkan,” tambahnya.

Matsumoto juga menyatakan Tokyo, wilayah Kansai dan Hokkaido sentiasa menjadi lokasi pilihan utama untuk dikunjungi oleh rakyat Malaysia sebelum pandemik.

"Sebelum pandemik, jumlah pelancong antarabangsa ke Jepun berada dalam aliran meningkat. Semestinya, ia masih kekal dan kami berharap ramai pelancong akan melawat Jepun.

"Tetapi kami percaya ia akan mengambil masa berikutan peralihan ke fasa endemik,” katanya.

Dilaporkan bahawa dalam tempoh empat hari selepas membuka semula sempadan pada 1 April, lebih 250,000 pengembara antarabangsa memasuki dan meninggalkan Malaysia melalui pintu masuk utama. 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.