Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sedang meneliti kesesuaian aset miliknya yang boleh dijadikan kios atau kedai buku kecil bagi menempatkan variasi bahan bacaan berkualiti termasuk buku tentang sejarah serta tarikan Langkawi.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dr Hezri Adnan berkata langkah itu selain memupuk budaya membaca ia memberi peluang kepada pengunjung untuk lebih mengenali dan memahami kepelbagaian tarikan di pulau peranginan berkenaan.
"Pelancongan berkait rapat dengan pengetahuan, Langkawi pula terkenal dengan cerita rakyat seperti lagenda Mahsuri serta kisah Gunung Machinchang (Gunung Mat Cincang) dan Gunung Raya. Terbitkan semula kisah-kisah itu dalam bentuk lebih menarik seperti dari segi visual pada persembahan buku berkenaan.
"Pantai Chenang pula menerima kedatangan pelancong dalam jumlah yang tinggi, perlu ada kios atau kedai buku di lokasi itu yang menempatkan bahan bacaaan lebih variasi mengenai Malaysiana atau Langkawi. LADA boleh kenal pasti aset yang boleh dijadikan kios atau kedai buku kecil untuk membantu usaha ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan 466 judul buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) untuk sudut bacaan di Perpustakaan Awam Langkawi di Perpustakaan Awam Langkawi, di sini.
Turut hadir Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah.
Pada majlis itu, Hezri turut menyampaikan sumbangan buku melalui program Jom Taja Buku ‘Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya’ kepada Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Norfardila Mohd Nor.
Program itu merupakan inisiatif ITBM dalam menjayakan kempen Dekad Membaca Kebangsaan, yang bertujuan menggalakkan pembudayaan membaca, serta Dekad Bahasa Kebangsaan untuk memartabatkan dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.
- TAGS / KEYWORDS: