LADA kemuka cadangan kemasukan pelancongan luar negara

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 16 October 2021
Read News

LANGKAWI :

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha menjadikan Langkawi sebagai projek rintis gelembung pelancongan kepada pelawat luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, SOP berkenaan akan dimuktamadkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Antara cadangan SOP yang kita kemukakan kepada kerajaan adalah pelancong luar negara wajib melakukan ujian pengesanan RT-PCR Covid-19, iaitu 72 jam sebelum penerbangan dan setibanya di Langkawi terus ke tempat penginapan dan sekali lagi lakukan ujian saringan RT-PCR. Ini bagi mengelakkan kesesakan di lapangan terbang. Sekiranya positif mereka perlu dikuarantin di hotel tersebut.


"Selain itu, sekiranya mereka (pelancong luar negara) telah menetap lebih daripada tiga hari, boleh dibenarkan mengunjungi destinasi lain dalam negara ini," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara berkata kementerian itu mencadangkan kepada MKN supaya projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi, dibuka kepada pengunjung dari beberapa negara luar sebagai langkah membolehkan Malaysia mengembangkan ekonomi yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

Menurut Nasaruddin, LADA menyambut baik cadangan kerajaan dan bersedia untuk menawarkan Langkawi sebagai destinasi projek rintis berkenaan kepada pelancong luar negara.

"Langkawi boleh dijadikan sebagai projek rintis gelembung pelancongan untuk pelancong asing di Malaysia dan semua orang perlu mematuhi segala SOP serta disiplin kawalan kendiri bagi memastikan penularan Covid-19 tidak berlaku," katanya.

Mengulas mengenai kedatangan pelancong dalam negara apabila rentas negeri dibenarkan sejak 11 Oktober lalu, Nasaruddin berkata, beliau menjangkakan seramai 100,000 pelawat akan berkunjung ke Langkawi sepanjang Oktober ini.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.