Lubuk Mandi bakal jadi tarikan pelancongan di Terengganu

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 19 October 2020
Read News

TERENGGANU:

Kerajaan Terengganu merancang untuk menjadikan Lubuk Mandi atau digelar sebagai Tasik Pepsi Blue, yang terletak di Mukim Rusila kira-kira 16 kilometer dari sini, sebagai tarikan baharu destinasi pelancongan di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata beberapa pengubahsuaian perlu dilakukan sebelum tasik tersebut dibuka kepada pelancong, antaranya pemasangan pagar di kawasan berbahaya dan menaik taraf kemudahan laluan menyusuri hutan (jungle trekking) di situ.

“Kecantikan air di sini (Lubuk Mandi) yang biru kehijauan memang luar biasa dan boleh diperkenalkan kepada masyarakat, kami akan berbincang dengan pihak berkaitan seperti Pejabat Daerah Marang dan Dewan Undangan Negeri (Dun Rhu Rendang) untuk membangunkan kawasan ini. Keutamaan adalah keselamatan pengunjung.

“Kita akan buat kawasan ini seperti Kawah Putih di Bandung, Indonesia, sebuah tasik semula jadi yang muncul akibat letusan gunung berapi, yang kini menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia,” katanya kepada pemberita selepas melawat Lubuk Mandi di sini.

Katanya, jarak Lubuk Mandi yang berdekatan dengan Kuala Terengganu menjadikan ia lokasi yang mudah untuk dikunjungi pelancong bagi menikmati panorama dan merakam gambar berlatarbelakangkan tasik tersebut.

“Lagipun pengunjung hanya perlu ‘jungle trekking’ kira-kira lima hingga 10 minit untuk sampai ke kawasan atas tasik bagi menyaksikan keindahannya. Berdekatan Lubuk Mandi juga terdapat kawasan perumahan, jadi jalan untuk ke sini sudah cantik dan sesuai dilalui kenderaan,” katanya.

Lubuk Mandi merupakan tasik buatan yang terhasil daripada aktiviti melombong secara mendulang emas yang suatu ketika dahulu sangat terkenal dalam kalangan penduduk tempatan. 

Namun, aktiviti melombong emas itu telah diarah dihentikan beberapa tahun lalu ekoran berlaku beberapa tragedi yang meragut nyawa pelombong termasuk tanah runtuh dan akhirnya dijadikan kawasan larangan. 

Namun, kebelakangan ini Lubuk Mandi kembali diperkatakan di laman sosial selepas terdapat beberapa individu yang memasuki kawasan tasik itu dan mengambil gambar. 

Sehubungan itu, Ariffin menasihati orang ramai supaya tidak menceroboh kawasan tersebut atas faktor keselamatan, sehingga ia dibuka secara rasmi kepada pengunjung kelak. 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.