MAHB mahu MASSB dikecualikan daripada skim penyusunan semula hutang AAX

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 26 October 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini berkata anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB), telah memfailkan permohonan bagi tujuan intervensi serta dikecualikan daripada cadangan skim penyusunan semula hutang AirAsia X Bhd (AAX).

Dalam kenyataan kepada kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata mengikut terma Syarat-Syarat Penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), MASSB adalah pemiutang AAX yang berjamin dan mesti dikecualikan daripada cadangan skim tersebut.

“Lebih terperinci, MASSB adalah pemegang hak lien yang mana hutang itu dijamin oleh lien berkontrak membabitkan harta-harta pengguna AAX,” kata pengendali lapangan terbang itu.

Untuk rekod, pada 7 Oktober lepas, AAX telah memfailkan satu saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memohon kebenaran mengadakan pertemuan dengan pemiutang tidak berjamin membabitkan cadangan mengenai skim penyusunan semula hutangnya.

Dalam permohonan itu, AAX telah menamakan MASSB sebagai salah satu pemiutang tidak berjaminnya.

MAHB berkata Lembaga Pengarahnya percaya adalah perlu untuk MASSB meneruskan permohonan intervensi itu demi melindungi kepentingannya.

“Permohonan intervensi itu dijangka tidak memberi sebarang kesan material terhadap kedudukan operasi syarikat,” kata MAHB.

MASSB semalam mengambil tindakan undang-undang terhadap AAX untuk menuntut sejumlah RM78.16 juta yang merupakan caj tertunggak penerbangan yang gagal dikutip oleh syarikat penerbangan tersebut di  KLIA.

Menurut MAHB, harta pengguna itu termasuk mana-mana pesawat, peralatan, aksesori, kenderaan, kelengkapan dan/atau sebarang harta lain dimiliki dan/atau di bawah kawalan AAX atau mana-mana pengendali darat yang dilantik oleh syarikat penerbangan itu.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.