Malaysia Airlines Pertingkatkan Langkah Keselamatan Bagi Golden Lounges

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 27 June 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

Malaysia Airlines Bhd telah menetapkan langkah keselamatan dan kesihatan yang dipertingkat bagi Golden Lounges untuk menambah keyakinan pelanggan terhadap perjalanan serta terus menawarkan pengalaman 'Malaysian Hospitality’ yang premium dan berbeza.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata insiatif baharu tersebut merupakan sebahagian matlamat syarikat penerbangan nasional itu dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan pelanggan serta warga kerja kekal menjadi keutamaan teratas.

“COVID-19 telah mengubah keadaan perjalanan seperti yang kita tahu. Sebagai syarikat penerbangan yang prihatin, kami terus mendengar sebarang pandangan penumpang kami dan melakukan sebaik mungkin untuk memenuhi harapan dan permintaan mereka, tanpa mengkompromikan aspek keselamatan, jaminan dan kebersihan,” katanya dalam kenyataan .

Antara langkah keselamatan yang dinilai dan disarankan kepada penumpang Malaysia Airlines di ruang menunggu mewah itu ialah pelaksanaan pendaftaran tanpa sentuhan dan imbasan suhu badan; menempatkan pensanitasi tangan di lokasi tumpuan ramai; penyusunan tempat duduk mengikut penjarakan sosial dan pemantauan kapasiti.

Malaysia Airlines juga memperkenalkan penyelesaian pesanan makanan dan minuman digital, kod QR serta hidangan ringan dipek mudah dibawa selain pengamalan protokol kebersihan yang tinggi di surau, bilik untuk keluarga dan bilik rehat.

Malaysia Airlines juga sedang meneroka kemungkinan menggantikan media bercetak dengan pilihan digital serta mengetengahkan video keselamatan dan peringatan mengenai etika kesihatan dan keselamatan keseluruhan yang diharapkan daripada semua pelanggan semasa mereka menggunakan semua skrin televisyen di ruang menunggu mewah itu.

Syarikat penerbangan ini juga telah mewujudkan beberapa sumber komunikasi untuk pelanggannya iaitu menerusi infografik, senarai semak perjalanan dan nasihat menerusi semua platform media sosial, laman web dan mel langsung, serta dipaparkan di ruang menunggu melalui kempen ‘Fly Confidently’.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.