Malaysian Airlines tawar tambang murah sempena cuti Tahun Baharu Cina

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 5 January 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Malaysia Airlines menawarkan tambang murah untuk sehala bagi kelas ekonomi ke semua destinasi domestik mulai hari ini hingga 17 Januari depan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Tempat duduk yang ditawarkan itu adalah untuk tempoh perjalanan dari 4 Februari hingga 25 Februari.

"Tawaran ini menawarkan harga berpatutan kepada penumpang, membolehkan mereka bertemu anggota keluarga pada musim perayaan akan datang yang merupakan cuti umum pertama bagi 2021,” kata Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pengguna Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May dalam satu kenyataan dikeluarkan.


Pelanggan boleh menikmati tambang sehala serendah RM129 untuk penerbangan domestik di Semenanjung Malaysia dan RM169 serta RM189 untuk penerbangan ke dan dari Sarawak dan Sabah.

"Tambang murah ini tersedia untuk semua tempat duduk bagi penerbangan terpilih, ia menawarkan nilai terbaik kepada pengembara yang mahu pulang bercuti atau bagi mereka yang berhasrat untuk percutian dalam waktu singkat," katanya.

Lau berkata penumpang juga dapat menikmati pengalaman perjalanan menerusi kelas ekonomi yang lebih baik apabila mereka memilih tambang MH Flex Economy, memberikan penumpang fleksibiliti akses perubahan tarikh, melakukan tempahan semula, elaun bagasi daftar masuk hingga 35 kg dan pemilihan tempat duduk standard percuma serta perlindungan perjalanan asas.

MH Flex Economy juga menyediakan keistimewaan dengan membolehkan penumpang menaiki penerbangan lebih awal pada hari yang sama secara percuma dan faedah tambahan seperti perkhidmatan khusus untuk pendaftaran masuk, pengurusan bagasi dan pelepasan. 

Beliau memberi jaminan bahawa Malaysia Airlines mempunyai protokol keselamatan dan kebersihan yang ketat, termasuk kerja-kerja nyahkuman kerap dilakukan sepanjang perjalanan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan sihat untuk penumpang.

Sementara itu, bagi mereka yang mencari pakej penerbangan dan hotel, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines, MHholidays, menawarkan pakej ‘Staycation’ di seluruh negara dengan potongan harga untuk penginapan hotel hingga 25 peratus untuk perjalanan sehingga 31 Julai.

Tempoh tempahan untuk tawaran Staycation mulai sekarang sehingga 10 Januari.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.