Mavcom syor "rangka kerja dengan prinsip tertentu" dalam bantuan kerajaan kepada industri penerbangan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 4 July 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

Industri penerbangan yang menyaksikan trafik penumpang global menjunam kira-kira 67 peratus pada minggu 27 April, 2020, berbanding setahun lalu disebabkan pandemik COVID-19 telah menyebabkan banyak kerajaan terpaksa campur tangan dan menghulurkan pelbagai bantuan.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata industri  itu, yang diiktiraf sebagai sektor strategik utama dalam hubungan dan aktiviti ekonomi penting ditawarkan pelbagai bentuk bantuan seperti penangguhan atau pelepasan bayaran fi, subsidi, pelaburan ekuiti, pinjaman dan sokongan laluan oleh kerajaan. 

Mavcom dalam komentarnya memberi tahu di Malaysia, kerajaan, menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan pada Februari 2020, mencadangkan diskaun 15 peratus bagi bil elektrik bulanan kepada syarikat penerbangan, rebat sewa serta rebat pendaratan pesawat dan parkir. 


Walaupun penangguhan atau pengecualian bayaran fi serta pengenaan subsidi adalah bermanfaat dalam jangka masa pendek, suruhanjaya itu berpendapat ia mungkin menjejaskan aliran tunai pengendali (lapangan terbang dan penyedia perkhidmatan navigasi udara)  dan kerajaan jika bantuan ini diteruskan dalam jangka masa yang panjang.

Terdapat juga kos pentadbiran bagi kerajaan untuk mengeluar dan memantau dana, serta sebarang impak ke atas beban cukai pada masa depan. 

Berikutan keperluan sosioekonomi, kerajaan Malaysia juga memutuskan untuk menyokong rangkaian laluan, termasuk meneruskan operasi perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk bagi menghubungkan komuniti terpencil. 

Mavcom melihat jenis bantuan kerajaan itu sebagai paling sesuai kepada semua pemegang kepentingan memandangkan kepentingan hubungan dan hubungan pengangkutan. 

Ia adalah kewajiban moral kerajaan untuk memastikan tiada yang ketinggalan dari segi bantuan yang diberikan dan termasuk memenuhi keperluan pengangkutan penting bagi semua masyarakat, kata badan penerbangan awam itu.

Namun, sebarang bantuan kewangan perlu berlandaskan kepada amalan tadbir urus yang baik, kata suruhanjaya itu.

Memandangkan tidak ada undang-undang atau garis panduan semasa bagi bantuan kerajaan, ia berkata, kerajaan perlu memastikan sebarang bantuan kewangan khusus disediakan daripada rangka kerja yang terdiri daripada prinsip yang dikenal pasti, objektif jelas dan disediakan hanya sebagai jalan terakhir. 

Menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, penurunan mendadak trafik penumpang yang disebabkan oleh COVID-19 itu telah menyebabkan syarikat penerbangan, pengendali penerbangan dan pengendali darat mencatatkan penurunan hasil yang besar, dengan syarikat penerbangan diunjur menanggung kerugian sebanyak US$314.0 bilion dan lapangan terbang sehingga US$97.0 bilion pada 2020.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.