MOTAC sasar pendapatan pelancongan RM11.1 bilion melalui TRF 2.0

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 1 year ago on 24 June 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

Kerajaan menyasarkan untuk menjana pendapatan industri pelancongan sebanyak RM11.1 bilion dengan ketibaan 4.5 juta pelancong sepanjang tahun ini menerusi pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan (TRF) 2.0.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran yang telah disemak semula itu berdasarkan petunjuk positif kemasukan pelancong asing membabitkan ketibaan pelancong asing sejumlah 2.3 juta orang tiga bulan lepas.

"Ini melepasi sasaran kami, pada mulanya kami menyasarkan dua juta hingga hujung tahun tetapi kini belum hujung tahun kami sudahpun mencapai sasaran tersebut.


"Mungkin hingga September kami boleh lihat lebih lagi, kami akan terus melakukan semakan dari semasa ke semasa,” katanya ketika sidang akhbar selepas sesi dialog pelancongan MOTAC dan Majlis Pelancaran TRF 2.0.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, kementeriannya menyasarkan ketibaan dua juta pelancong ke Malaysia tahun ini dengan keuntungan melebihi RM6.8 bilion.

Nancy berkata, bagi mencapai sasaran optimistik itu TRF 2.0 akan memberi fokus kepada kerjasama pintar antarabangsa dan nasional, selain kepada agenda pemerkasaan masyarakat setempat dalam mendepani ketidakpastian industri pelancongan masa depan.

Beliau berkata, pelan yang telah ditambah baik bersama penggiat industri melalui Tourism Productivity Nexus (TPN) itu akan turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan pendapatan negara melalui sektor pelancongan, bukan lagi pada kelangsungan dan pembukaan semula aktiviti pelancongan semata-mata.

Sementara itu, setakat bulan lepas, Nancy berkata, pihaknya telah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM23.8 juta kepada 15,000 pengusaha pelancongan, selain RM4.73 juta nilai baucar ditebus bagi pembelian produk kraf, seni visual dan buku serta RM2.35 juta nilai baucar pula ditawarkan bagi pakej pelancongan dan pengangkutan darat.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.