MyBha Cadang Kerajaan Keluarkan Sijil 3K

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 30 May 2020
Read News

KUALA LUMPUR:

Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) mencadangkan kerajaan mengeluarkan sijil 3K iaitu Keselamatan, Kebersihan dan Kesihatan kepada pengusaha hotel bajet bagi mengembalikan keyakinan pelancong terhadap keselamatan premis selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.

Presidennya Emmy Suraya Hussein berkata pengenalan sijil tersebut dapat berperanan sebagai pelengkap kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk pengusaha hotel.

“Kita mahu selepas ini (apabila PKPB ditamatkan) pelancong dapat tinggal di hotel-hotel kita dengan selesa, mengambil kira SOP yang digariskan oleh Motac.

“Tidak semestinya mereka datang untuk menginap atau makan di restoran, tapi ada hotel yang boleh menawarkan pakej seperti untuk perniagaan dalam talian dan sebagainya, khusus untuk pelanggan setia,” katanya dalam program Suara Profesor Negara: Strategi  Bina Semula Ekonomi Negara - Sektor Pelancongan dan Hospitaliti, terbitan Bernama TV .

Menurutnya, setakat ini sektor hotel bajet mengalami kerugian sekitar RM70 juta berdasarkan kajian dalam kalangan 2,300 ahli MyBHA.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif  Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Raduan Che Rose yang merupakan antara panelis program percaya kerajaan akan memberi kelonggaran seterusnya selepas 9 Jun ini memandangkan kes COVID-19 kini dilihat terkawal.

 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.