PAPUH harap kebenaran umrah dipercepatkan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 9 September 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) meminta kerajaan menyegerakan pembukaan semula ibadat umrah untuk jemaah tanah air.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata perkara itu amat dinantikan penyedia perkhidmatan umrah di negara ini yang terjejas teruk selepas ibadat umrah digantung sejak awal tahun lalu.

Beliau berkata, syarikat perkhidmatan umrah di negara ini masih menunggu keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Dalam Negeri berhubung pembukaan semula ibadat umrah bagi jemaah tanah air.

"Setakat ini, kita belum menerima sebarang berita baik dan tidak lagi dipanggil untuk perbincangan lanjut mengenainya. Kita masih menunggu lagi sebarang makluman daripada semua pihak berkaitan mengenai kebenaran perjalanan ke luar negara dibolehkan," katanya.

Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengumumkan kesediaan pihaknya menyambut kedatangan 70,000 jemaah umrah sehari.

Menurut akaun Twitter jabatan tertinggi itu yang memetik kenyataan Penolong Ketua Pengarah Hal Ehwal Masjidil Haram Dr Saad Muhammad Al-Muhaimidi, pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.

Razali berkata, pihaknya berharap dengan tambahan 10,000 jemaah dibenarkan dalam sehari berbanding sebelum ini, iaitu sekitar 60,000 orang, kerajaan wajar segera pertimbang pembukaan semula ibadat umrah untuk jemaah tanah air.

"Sehingga sekarang, Malaysia masih belum buka pintu sempadan dan saya menjangkakan paling awal pembukaan untuk ibadat umrah berkemungkinan pada hujung tahun ini.

"Selain berurusan dengan agensi umrah, mengikut prosedur semasa, jemaah juga perlu memohon secara individu kebenaran ke luar negara melalui sistem MyTravelpass, di bawah Jabatan Imigresen (Imigresen)," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.